Kecoh anak bekas menteri agama dapat biasiswa MAIWP, ini penjelasan MAIWP

Kecoh anak bekas menteri agama dapat biasiswa MAIWP, ini penjelasan MAIWP

 

Anak kepada bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri layak menerima Biasiswa Insentif Khas Pelajar Cemerlang Luar Negara (Jordan) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) berdasarkan dasar serta prosedur operasi standard (SOP) MAIWP.

Menurut MAIWP, Abdul Syakur yang memperoleh keputusan 8A bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia adalah penuntut lepasan Pondok Moden Al-Abaqirah MAIWP dan pemberian biasiswa itu diputuskan Mesyuarat Jawatankuasa Panel Pemilihan Penerima Skim Biasiswa MAIWP, 11 September lalu.

“Hasil semakan juga mendapati pemohon dikategorikan dalam asnaf Fisabilillah dengan Lebihan Had Kifayah.

“Bapa pelajar (Datuk Seri Dr Zulkifli) hanya menerima pencen dan telah melepaskan segala jawatan beliau termasuk juga sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia.

“Ini menepati syarat Lebihan Had Kifayah yang ditetapkan bagi asnaf Fisabillillah,” menurut MAIWP dalam kenyataan hari ini.

Isu pemberian biasiswa itu menerima pelbagai reaksi termasuk yang mempertikaikan kelayakan Abdul Syakur, yang juga anak bekas menteri dan didakwa mempunyai kelebihan dari segi kewangan berbanding calon lain, sebagai penerima.

MAIWP memaklumkan takrifan asnaf Fisabilillah yang diluluskan Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan pada 4 Mac 2021, merujuk kepada mana-mana golongan atau pihak yang terlibat dalam sesuatu aktiviti untuk menegakkan, mempertahankan dan mendakwahkan agama Islam.

Jelas MAIWP, bantuan biasiswa itu merupakan antara 30 skim di bawah Dasar Skim Bantuan Zakat MAIWP yang digunapakai sejak diluluskan Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan kali ke-150 pada 15 Jan 2020 dan Mesyuarat MAIWP pada 18 Februari 2020.

Ia juga diperakui di bawah SOP Pengurusan Skim Bantuan Zakat MAIWP yang diluluskan Mesyuarat Pengurusan MAIWP pada 22 Disember 2020.