Akhirnya punca perceraian Noor Nabila dan Engku Emran terbongkar

Akhirnya punca perceraian Noor Nabila dan Engku Emran terbongkar

 

Kakak kepada usahawan selebriti terkenal, Neelofa iaitu Noor Nabila berjaya menyita perhatian ramai setelah membuat satu pendedahan yang mengejutkan.

Mana tidaknya, wanita yang berusia 39 tahun itu mendedahkan bahawa dia dan suami, Engku Emran Engku Zainal Abidin bakal bercerai tidak lama lagi.

Jelas Nabila, keputusan itu dibuat bersama selepas Emran meluahkan hasratnya untuk berundur diri dari perkahwinan mereka yang berusia dua tahun itu.

Mengimpikan rumah tangga yang bahagia, Nabila bagaimanapun mengaku sudah tidak tinggal sebumbung bersama Emran sejak Januari lalu, lapor Harian Metro.

Tidak langsung niat untuk berselindung, ibu kepada Jebat Jayden itu hanya enggan berkongsi masalah rumah tangga yang dihadapinya kepada khalayak ramai.

“Kami dalam proses perceraian dan akan diputuskan dalam masa terdekat. Emran pun sudah menyatakan keinginan dia untuk bercerai selepas dia keluar dari rumah saya sejak awal Januari lalu.

“Alhamdulillah ketika dia beritahu hasratnya untuk bercerai, kami berbincang secara baik dan tenang serta menerima segala keputusan yang ditentukan dengan reda dan hati terbuka.

“Jodoh ajal maut adalah aturan Allah SWT, tiada siapa yang nak berkahwin untuk bercerai dan saya juga impikan perkahwinan yang bahagia dan berpanjangan,” katanya memetik Harian Metro.

Menjadikan peristiwa perit yang dilaluinya itu sebagai satu pengajaran, Nabila akui sudah berusaha sehabis baik sepanjang proses perkahwinannya bersama Emran.

Namun malangnya, ujian serta dugaan rumah tangga yang dihadapi oleh mereka berdua semakin berpanjangan dan masih juga tidak dapat diselesaikan.

“Sepatutnya kita suami isteri saling berkorban dan sentiasa ada untuk satu sama lain dalam apa jua keadaan. Malangnya kami tak mampu jadi pasangan seperti itu.

“Masalah antara kami sudah lama berpanjangan dan saya berserah dengan takdir dan yakin ini adalah aturan terbaik dari Nya untuk saya dan anak lalui.” ulasnya.

Terdahulu, khabar pergolakan rumah tangga antara pasangan itu mula terbongkar apabila ada individu yang mendakwa bahawa mereka tidak lagi tinggal sebumbung.

Untuk rekod, Nabila dan Engku Emran berkahwin pada 19 Mac 2021 lalu selepas suaminya itu bercerai dengan pelakon popular Indonesia, Laudya Cynthia Bella.

Engku Emran juga pernah mendirikan rumah tangga bersama primadona Malaysia, Erra Fazira dan mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Engku Aleesya.

Sementara itu, Nabila juga pernah berkahwin dengan pelakon terkenal, Sharnaaz pada 31 Mac 2017 lalu dan memutuskan untuk berpisah pada 9 Julai 2020.

Hasil perkahwinan itu, Nabila dan Sharnaaz dikurniakan seorang cahaya mata lelaki yang dikenali sebagai Jebat Jayden.