Rupanya nasi sejuk ada lebih banyak khasiat berbanding nasi panas, ini 5 kelebihan yang patut kita tahu
Perkongsian seorang wanita mengenai khasiat nasi putih sejuk dan nasi panas di laman Facebook mendapat perhatian ramai apabila perkara yang dikongsikan itu tidak ramai mengetahui.
Menerusi hantaran tersebut, beliau menyatakan bahawa pernah dimarahi oleh nenek kerana menghidangkan nasi sejuk untuk suami tercinta. Katanya perkara ini ‘tidak manis’.
KHASIAT NASI PUTIH SEJUK VS NASI PANAS, MANA LAGI ELOK?
Namun sebenarnya si suami sendiri lebih memilih untuk makan nasi sejuk berbanding nasi panas.
“Kalau dekat kampung, saya pernah kena tegur dengan nenek sebab hidang nasi sejuk dekat suami. Tak elok, macam tak hormat suami katanya.
“Kalau dekat rumah pula saya kena tegur dengan suami sebab hidang nasi panas. Serba salah dibuatnya. Hidup ini memang complicated. Serius, suami saya tak akan makan nasi panas sebab dia cakap nasi sejuk GI nya lebih rendah dan serat lebih tinggi,” luahnya.
Jadi, bagi anda yang tidak tahu nasi sejuk mempunyai kandungan kanji lebih tinggi berbanding nasi panas. Nasi sejuk memiliki kadar gula yang rendah dan lambat diserap oleh tubuh dan membuatkan rasa kenyang menjadi lebih tahan lama dan tidak cepat lapar.
Jenis kanji ini dipanggil kanji retrogred dan terdapat dalam makanan berkanji yang telah dimasak dan disejukkan. Malah, nasi yang dipanaskan semula nampaknya mempunyai jumlah tertinggi.
Jadi, antara kelebihan nasi sejuk adalah:
- Dapat menurunkan kolesterol badan
- Meningkatkan pertubuhan bakteria usus baik
- Membantu hormon insulin
- Membuatkan perut lebih kenyang
- Membantu mengawal bacaan gula dalam darah
Nasi panas pula mengandungi gula yang tinggi dan cepat diserap oleh tubuh sehingga rasa kenyang tidak bertahan lama dan membuatkan cepat lapar.
Perkongsian wanita itu menerima pelbagai komen dan rata-rata bersetuju dengan perkara tersebut. Jadi, sekiranya ingin mengawal bacaan gula dalam darah, dinasihatkan untuk makan nasi sejuk.
Pastikan tidak basi ya. Nanti sakit perut pula.
Semoga bermanfaat!