Cara siang udang galah, mudah dan cepat

Cara siang udang galah, mudah dan cepat

 

Sebut sahaja udang galah, pencinta makanan laut mesti suka akan binatang tersebut kerana apabila dijadikan hidangan, pasti tak cukup seekor walaupun hanya seorang yang makan.

Selain daripada dihidangkan secara gorengan, udang galah juga boleh disajikan sebagai masak lemak, masak kari, masak sambal dan lain-lain. Ia akan menjadi lebih menyengat, apabila dimasak menggunakan resipi masakan Melayu, di mana segala rasa rempah itu dapat dirasa.

Untuk dapatkan udang galah pada harga yang berpatutan agak susah sekiranya menetap di bandar kerana penjual akan mengira kos-kos yang tersembunyi sebelum dijual kepada pelanggan.

Tetapi jika dapat harga murah berbanding biasa di pasar, ia boleh dikatakan sebagai jackpot disebabkan ia jarang berlaku.

Sesudah membawanya pulang ke rumah dengan gembira, tiba-tiba perasaan itu dimatikan dengan bingung termasuk takut susulan tidak tahu cara yang betul untuk menyiang udang tersebut.

Adalah penting untuk memastikan udang tersebut bersih sebelum dimakan untuk mencegah daripada penyakit ataupun keracunan makanan.

Sekiranya tidak dibersihkan dengan cara yang betul, segala kemungkinan akan terjadi dan perkara tersebut akan menimbulkan masalah.

Lelaki kongsi cara siang udang

Bagaimanapun, tidak perlu risau kerana cara untuk siang udang galah telah diajar oleh Mathan Edward di Facebook.

Menerusi video yang dimuat naik, dia menjelaskan cara yang betul kepada orang ramai untuk siang udang tersebut.

Cara tersebut difahamkan boleh dilakukan semua jenis golongan, walaupun mereka yang tidak pandai memasak.

Barang yang diperlukan untuk melakukan perkara itu hanyalah gunting dan juga besen untuk meletakkan udang yang bersih.

Hanya perlu memotong beberapa bahagian, udang tersebut boleh dimasak.

“Pertama sekali, korang kena potong atau gunting tanduk udang, selepas itu di bahagian janggut buang dan potong misai sekali.

“Yang dalam (kepala) ada dua biji gigi kena buang dan juga taik di kawasan itu pun kena buang.

“Kemudian potong ekor dan gunting kulit sedikit untuk buang taik di dalamnya,” jelasnya.

Selepas dah bersihkan udang, bolehlah masak hidangan yang anda gemari.