“Ada bayangan lelaki dengan muka lebam, pakai t-shirt belang, duduk di bahagian sit belakang kereta,” – akak ini ceritakan pengalaman dirinya diganggu bayangan misteri di taman perumahan terkenal

BAJU BELANG-BELANG, SELUAR JEANS
Sebenarnya saya teringat akan satu kisah. Terjadi sebelum saya berpindah ke ‘Rumah Itu Laluan Angin’.
Saya duduk di satu rumah. Rumah itu rumah tepi. Tepi lorong. Rumah itu kecil sahaja. Rumah kos murah 2 tingkat. Belakangnya tak berpagar. Selalu jadi port budak-budak sekolah berendut dan monteng belakang rumah saya.
Apelah yang best sangat duduk belakang rumah saya. Kadang saya dehem dehem pun diorang buat dek je. Tegur baik-baik tak jalan. Sudahnya, saya keluarkan paip ikut celah tingkap, jirus dengan air. Menggelupor masing-masing. Setel. Hihihi.
Kosakata (dialek Johor) : Berendut – Dating
Tak..saya bukan nak cerita tentang rumah ni berpuaka. Tiada apa yang pelik atau seram tentang rumah ni.
Yang pelik dan seram, ada pada jiran sebelah. Suka-suka jemur kain baju dengan karpet keliling pagar saya. Saya nak jemur baju, eh? Dah penuh?? Terasa saya seolah masuk ke rumah orang lain pulak. Hihihi
Macam biasa, masa awal perkahwinan, saya masih workaholic. Balik kerja larut malam. Masih belum ada anak. Ada satu hari tu, saya balik kerja lewat. Kira-kira dekat jam 11 malam.
Di pertengahan jalan, saya macam ada terbau busuk busuk sikit. Sesekali hanyir. Saya abaikan je la. Biasalah tu, kadang bau longkang.
Masa nak belok ke simpang masuk ke taman perumahan saya, saya nampak kat cermin pandang belakang, ada bayangan lelaki dekat sit tengah belakang kereta saya. Mukanya berlebam. Berbaju t-shirt belang-belang.
Saya punya terperanjat sampai stereng saya terpulas ke tepi. Hilang kawalan sekejap. Mengucap saya. Mujur takde pape.
Saya toleh ke belakang, bayangan tu tak ada. Tangan saya dah gigil dah. Jadi saya pecut laju-laju. Ada baki 10 minit nak ke rumah saya. Semua lampu merah saya langgar.
Saya rasa macam kereta saya je ada kat jalan tu. Padahal jalan yang saya lalu tu semua jalan utama. Tidaklah sunyi tidak juga hingar.
Sampai kat traffic light terakhir simpang masuk ke rumah saya, saya jeling-jeling jugalah. Alangkah lega saya, bayang tu sah dah takde. Bagi saya, mungkin sekadar mainan mata, yelah…dah penat barangkali.
Saya pun pandu macam biasa, sambil tengok-tengok acik jual kepak ayam madu tepi jalan bukak lagi ke tak. Fuhhh..dalam takut-takut tu nyempat lagi ek nak cari benda makan.
Masuk lorong rumah saya, saya perlahankan kereta. Sampai depan rumah, saya turun dan bukalah pagar macam biasa. Saya reverse parking.
Allah!
Dari silau lampu hadapan kereta, ia berdiri sebelah tiang lampu berhadapan rumah saya. Baju belang-belang, seluar jeans lusuh. Seluarnya sebelah terlipat sehingga lutut.
Saya masih ingat sampai sekarang pakaian ia. Saya apa lagi, cepat-cepat saya keluar kereta masuk ke dalam rumah. Sempatlah saya ambik kepak ayam madu yang saya gantung kat sit kereta.
Saya bior je pagar terbuka. Senang suami balik karang nak masuk motor. Saya pun masuk ke dalam rumah cepat-cepat, saya bukak lampu, tutup pintu. Saya pun call suami. Dengan harapan suruh dia cepat balik.
Dia balik jam 1 pagi. Kerja shift. Masa ni, suami kerja dekat dengan rumah. Dalam rumah memang saya tak senang hati. Bunyi decit sikit pun mata saya dah melilau. Saya ‘missed call’ suami banyak kali. Last-last saya telefon, saya cerita.
Suami suruh saya intai. Betul ke apa yang saya nampak? Ke perasaan saya je? Gila apa nak intai. Dibuatnya masa saya intai, terjegul depan bijik mata? Saya kumpulkan keberanian, di celahan cermin nako, saya selak langsir.
Ya. Benda tu masih ADA! Berdiri tercegat!
Saya telefon balik suami.
“Benda tu ada lagi! Cepatlah balikkkk..”
Saya memang dah nak nangis dah. Benda ni nak apa? Benda ni ikut saya ke? Rasa seram giler. Lagi seram kepak ayam madu tu dah sejuk dah. Dia kalau dah sejuk kan macam liat-liat sikit kan nak makan.
Dalam 40 minit suami pun sampai. Leganya saya dengor bunyi motor masuk dalam perkarangan rumah. Suami masuk rumah tanya saya, mana?? Dia tak nampak pape. Jadi, dia suruh saya tengok lagi sekali, suruh tunjuk kat mana, ada lagi ke tak? Sebab ada suami kan, jadi saya dengan berani-berani takut pergilah keluor tengok. Bekas suami saya ni memang berani orangnya.
Alhamdulillah, benda tu dah takde dah. Rasa aman sikit.
Dia bising kat saya.
“Ingat suka-suka ke suruh balik?”
“Alah, balik awal sikit je. Setengah jam je pun. Bukan selalu.”
Perut dah lapor. Saya buat pekak jelah dengor dia bebel sambil sengih-sengih ratah ayam. Lama kot ayam tu tunggu saya.
Entahlah.. Saya pun tak tahu kenapa, mengapa, bagaimana. Mungkin sekadar gangguan. Itulah sekali saya ter’nampak’ dan serasa diikuti oleh ‘lelaki’ itu. Wallahualam.
Sumber – FB Kelab Cerita Hantu Malaysia