Adly calon terbaik KM Melaka, Ketua PKR Melaka jawab Rafizi
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Katil Adly Zahari adalah individu terbaik untuk memimpin Melaka, menurut Ketua PKR Melaka Halim Bachik, yang merujuk prestasi Adly ketika memegang jawatan itu selama 22 bulan sebelum ini.
Dalam wawancara dengan FMT, Halim berkata, Adly menunjukkan prestasi yang sangat baik sepanjang tempoh perkhidmatannya yang singkat.
Naib Presiden Amanah itu tambahnya, mendapat sokongan padu, baik daripada pentadbiran Pakatan Harapan (PH) mahupun di peringkat akar umbi.
“Pada dasarnya memang (bagi) kita, Adly adalah yang terbaik (jadi Ketua Menteri),” katanya.
Namun beliau menegaskan, pilihan Ketua Menteri oleh PH akan dimuktamadkan oleh kepimpinan tertingginya.
“Kita kena ambil alih dulu kerajaan pada pilihan raya negeri (PRN) yang akan diadakan, baru kita buat keputusan. Keputusan bukan di peringkat negeri, tetapi pusat,” katanya.
Halim yakin PH mampu mencapai kemenangan pada PRN kali ini, terutamanya apabila dijangka berlaku perpecahan antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
Kuncinya bagi PH kata beliau, adalah kerusi dengan undi campuran kerana pertelingkahan antara BN dan PN akan memecahkan undi Melayu, terutamanya di kawasan luar bandar.
“Kita berkeyakinan tinggi akan menang di kawasan yang ada undi campuran, lebih kurang dalam 18 kawasan. Tetapi kita takkan dapat kemenangan dengan mudah, kena kerja kuat. Kita kena tunjukkan muka.
“Kita akan ada pelbagai cara untuk kempen kali ini. Walaupun nampak tiada serilah – pilihan raya bila tiada kempen, tiada seri – tetapi kita ada cara macam mana nak buat untuk selami hati rakyat di bawah,” katanya.
Beliau menegaskan, menukar pentadbiran di DUN adalah langkah lebih baik berbanding mengadakan PRN, yang akan menelan kos RM46 juta.
Namun memandangkan PRN akan diadakan katanya, Melaka memerlukan pemimpin yang dapat menjaga kebajikan rakyat, terutamanya dari segi kesihatan dan ekonomi.
“Kalau kita fikirkan projek-projek mega tetapi (rakyat) di luar bandar ketinggalan, itu bagi saya, bukan kepimpinan yang bijak,” katanya.
“Kita nak pemimpin yang boleh jadi adil kepada semua kawasan, baik luar bandar mahupun bandar.
“Kita nak cari seorang pemimpin yang faham, yang tahu, yang rasa denyut nadi rakyat.”