Alasan Sim pertahan guna logo partinya serlah kebodohan sendiri, kata netizen

Alasan Sim pertahan guna logo partinya serlah kebodohan sendiri, kata netizen

AHLI Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin menyifatkan keputusan PKR bertanding menggunakan logo sendiri dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai tepat dengan mengambil kira situasi kerusi yang ditandingi parti itu.

Beliau berkata, dalam PRN yang menyaksikan pertandingan banyak penjuru, logo lama sesebuah parti yang sinonim dengan rakyat sangat membantu kemenangan.

“Mengapa pakai logo PKR? Semasa PRN Melaka, saya melawat sebuah taman perumahan di DUN Lendu (luar bandar).

“Saya hulurkan risalah berlogo PH (Pakatan Harapan). Penerima itu seorang wanita Cina usia 50an, beliau ‘blank’ dan tanya suaminya apa parti ini? Suaminya terpaksa terangkan ini PH. Ini pengalaman saya sebenar.

“PKR bertanding dalam kawasan marginal/rural. Setiap undi penting. Di kawasan tertentu 100 perbezaan tentukan kalah menang,” katanya menerusi Facebook.

Tse Tzin berkata, PH memerlukan strategi fleksibel dengan situasi semasa untuk membantu kemenangan gabungan berkenaan.

“PH perlu ‘strategic flexibility’ hadapi situasi semasa. Dari Barisan Alternatif ke PR ke PH, kita flesibel demi mencapai kemenangan.

“Di PRN Sabah (2020), DAP Sabah guna pakai logo Warisan walaupun anggota PH. Di PRN Sarawak 2021, DAP yang mahu guna pakai logo Rocket. Itu tidak menjadi masalah,” katanya.

Dalam pada itu, Tse Tzin berharap, perkara itu mendapat persefahaman daripada rakan komponen PH

“Mohon persefahaman rakan PH. PKR tetap jiwa HARAPAN,” katanya.

Semalam, PKR mengumumkan akan bertanding PRN Johor menggunakan logonya sendiri, manakala dua sekutunya dalam Pakatan Harapan (PH), iaitu DAP dan Amanah menggunakan logo gabungan parti pembangkang berkenaan.

Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perbincangan pakatan pembangkang berhubung pengagihan kerusi juga sudah selesai dan PH akan bertanding di semua 56 Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Logo kita sudah putuskan yang Keadilan (PKR) guna logo Keadilan (PKR), yang lain-lain guna logo PH. Perbincangan kerusi antara PH juga sudah selesai.

“Yang penting kita bertanding di semua 56 kerusi oleh ketiga-tiga parti (komponen) PH, tapi kita masih buka ruang bincang dengan parti pembangkang lain termasuk MUDA,” katanya.