Angkara cemburu, lelaki ‘gila talak’ tetak kekasih bekas isteri dengan kapak

Angkara cemburu, lelaki ‘gila talak’ tetak kekasih bekas isteri dengan kapak

 

Cemburu dan gila talak jadi punca seorang lelaki menetak teman lelaki kepada bekas isterinya dalam kejadian berdekatan bulatan Menara Kinabalu, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd. Zaidi Abdullah berkata, mangsa dan teman wanitanya berusia 30 tahun sedang makan di dalam kereta, kira-kira jam 9 malam.

Pasangan itu kemudian didatangi oleh suspek utama dan dua lagi rakannya lalu menyerang mangsa menggunakan kapak.

Mangsa ditetak berulang kali oleh bekas suami teman wanitanya sehingga mengalami kecederaan di muka, tangan dan kaki.

Mangsa yang mengalami kecederaan parah dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth untuk mendapatkan rawatan sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Alam Mesra.

Difahamkan, suspek berkahwin dengan wanita berkenaan pada tahun 2015 dan baru bercerai sebulan yang lalu. Selepas bercerai, wanita itu baru dua minggu menjalinkan hubungan dengan mangsa yang dikenalinya sejak enam bulan lalu.

Polis percaya, suspek bertindak menyerang mangsa kerana cemburu melihat bekas isterinya sudah mempunyai pengganti.

Polis kini sedang memburu tiga suspek termasuk bekas suami wanita terbabit yang dikenali sebagai Winhal Jalali, 37 (Suluk). Dua rakannya, Abdel Jalali, 27 (Suluk) dan seorang lagi yang tidak dikenal pasti identitinya.

Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat untuk tampil membantu siasatan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata.