Bagai retak menanti belah : Pas Sarawak tampil beri amaran kepada Hadi adakan rundingan kerjasama dengan Anwar tanpa pembabitan Bersatu

Bagai retak menanti belah : Pas Sarawak tampil beri amaran kepada Hadi adakan rundingan kerjasama dengan Anwar tanpa pembabitan Bersatu

PAS Sarawak berharap kepimpinan parti itu membincangkan dengan PN berkenaan sebarang tawaran untuk bekerjasama dengan kerajaan perpaduan.

Memetik Nalaysiakini, Pesuruhjaya PAS Sarawak Jofri Jaraiee, walaupun tidak dapat mengenal pasti “niat sebenar” pihak berkenaan yang menghubungi presiden Abdul Hadi Awang berkenaan perkara itu, PAS tidak seharusnya membiarkan PN ketinggalan.

“Kita tidak pasti niat sebenar ‘orang tertentu’ itu, mungkin juga mereka nak memisahkan PAS dengan Bersatu dalam PN sebab kalau mereka nak ajak…perlu ajak Bersatu sekali. Maksudnya PN sekali, bukan PAS sahaja,” katanya seperti dipetik FMT.

Pada masa sama, Jofri berkata PAS juga perlu berwaspada dengan tawaran tersebut antaranya kerana ia mungkin “teknik mengelirukan pengundi” pihak tertentu, lebih-lebih lagi menjelang PRN di enam negeri.

“PAS perlu berhati-hati dengan setiap tawaran. Jika selepas pilihan raya (negeri), mungkin tawaran tersebut boleh dipertimbangkan,” katanya.

Namun, Jofri berkata tawaran itu tidak boleh ditolak mentah-mentah.

“PAS perlu membincangkan tawaran menyertai kerajaan perpaduan bersama rakan komponen dalam PN sebelum menerimanya,” katanya lagi.

Semalam, Hadi mendakwa dia beberapa kali dihubungi “orang tertentu” yang menawarkan kerjasama dalam kerajaan perpaduan.

Hadi mempersoalkan tawaran itu dengan berkata ia sepatutnya memberi “kelebihan kepada PAS” kerana parti itu mempunyai kerusi Parlimen lebih banyak daripada parti lain.

“Ada orang hubungi saya…beberapa orang acap kali nak berjumpa dengan tawaran untuk menyertai kerajaan. PAS ada 43 kerusi…PKR 30 sahaja. Dalam keadaan 30 kerusi ini, sembilan kerusi adalah bukan Melayu, 19 sahaja Islam.

“Dalam keadaan PKR, DAP pula, tiga Melayu dari 40 kerusi, 37 kerusi bukan Melayu. Kalau campur gabungan itu, kerajaan akan didominasi oleh orang Islam,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Buku Jejak Nabi Muhammad dan Syarahan Perdana di Pusat Dagangan Dunia, seperti dipetik FMT.