Banyak pihak kecewa tindakan blok pembangkang
Keputusan saat-saat akhir pimpinan pembangkang di Dewan Rakyat semalam bukan saja mengundang kemarahan penyokong mereka, malah turut mengecewakan sebahagian ahli parlimen blok tersebut.
Hari ini sekurang-kurangnya tiga ahli parlimen PKR menyatakan secara terbuka bagaimana mereka bersedia untuk menolak belanjawan berkenaan melalui undi belah bahagi.
Dalam kenyataan bersama dikeluarkan petang ini, Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir, Hassan Karim (Pasir Gudang) dan Nurul Izzah Anwar (Permatang Pauh) berkata arahan berkenaan mengikat mereka untuk mematuhi disiplin parti.
“Arahan yang dikeluarkan semalam oleh pimpinan pembangkang bagi meluluskan peringkat dasar Belanjawan 2021 amat mengecewakan banyak pihak.
“Kami sudahpun bersedia untuk menolak belanjawan tersebut sehinggalah arahan di minit akhir yang mengikat ahli parlimen PKR mengikut kepatuhan disiplin parti,” kata mereka.
Akmal, Nurul Izzah dan Hasan meambah, penyokong mereka jelas mahukan agar kebajikan dan kepentingan rakyat serta negara di pertahankan.
“Jelas selaku wakil rakyat pembangkang yang bertanggungjawab, kepercayaan rakyat bukan sahaja harus dihormati tetapi dilunaskan menerusi tindakan sewajarnya.
“Ahli parlimen dipilih oleh rakyat untuk mewakili kepentingan mereka; dan sepanjang menggalas tanggungjawab itu, jelas kami tidak sempurna; tetapi kami perlu terus berusaha memenuhi harapan ramai,” katanya.
Semalaman merenung peristiwa
Semalam sesi pengundian Belanjawan 2021 yang dijangka menjadi genting serta membuka ruang kepada kerajaan Perikatan Nasional digugat tidak menjadi kenyataan apabila ia diluluskan dengan majoriti ahli parlimen menyokongnya.
Ia dibuat melalui undian suara. Cubaan sesetengah ahli parlimen pembangkang meminta agar undi belah bahagi – sekali gus membolehkan belanjawan itu diuji dengan lebih terperinci – gagal selepas gagal mendapat sokongan sekurang-kurangnya 15 wakil.
Ia berlaku selepas Presiden PKR, Anwar Ibrahim, selaku pengerusi Pakatan Harapan (PH) tidak bersetuju belanjawan tersebut diundi secara belah bahagi.
Secara keseluruhan hanya ada 13 ahli parlimen yang berdiri mahu agar pengundian secara belah bahagi dibuat, termasuk sebahagian besar wakil Amanah serta empat ahli parlimen Parti Pejuang Tanah Air pimpinan Dr Mahathir Mohamad.
Akmal, Nurul Izzah dan Hasan berkata dalam keadaan ramai yang kecewa mereka meminta ruang untuk memperbaiki prestasi berkenaan melalui pembentukan Kaukus Reformasi Ekonomi, Sosial dan Kebajikan.
“Setelah semalaman merenung peristiwa belanjawan, kami memutuskan untuk bersama-sama memperjuangkan dan menekuni perincian dasar alternatif yang bertumpu kepada peranan kami selaku wakil rakyat dari pihak pembangkang,” katanya.
Menurut mereka lagi Belanjawan 2021 gagal menyediakan jaring keselamatan sosial yang mencukupi untuk warga pekerja di Malaysia.
Dengan hanya bertumpu kepada langkah populis gesaan ramai ahli politik berkisar pengeluaran awal dana KWSP, kerajaan hanya memudahkan laluan penabung menggunakan simpanan masa depan, bukannya berusaha membantu rakyat menabung.
Katanya kerajaan lebih rela membiarkan rakyat menikmati kehidupan persaraan dengan pendapatan yang tidak lebih daripada RM41 sebulan selama dua puluh tahun akan datang
Sepatutnya, kata mereka, kerajaan mendahulukan dana dengan menyelamatkan simpanan rakyat.
“Terdapat juga kekurangan fokus kepada penjanaan peluang pekerjaan yang kalis masa depan, termasuk kalis pandemik Covid-19 dan krisis ekonomi berikutnya.
“Keadaan ekonomi dijangka bertambah buruk menjelang 2021,” kata mereka.
Kata ahli parlimen terbabit kaukus itu percaya kerajaan mesti memberi tumpuan kepada kesiap-siagaan dasar yang konkrit dan terperinci mengenai peluang pekerjaan yang menepati keperluan masa depan, perjanjian baru yang ‘hijau’ dan perluasan jaringan keselamatan sosial.
“Kita juga tidak boleh mengesampingkan isu keadilan sosial dan antirasuah yang dijuarai PKR yang selama ini banyak diangkat oleh para penyokong parti.
“Inilah prinsip-prinsip yang akan terus diperjuangkan sebagai pembuat dasar pembangkang yang teguh, untuk menjulang bakti dan kesetiaan kepada raja dan negara,” katanya.
Sumber: Malaysiakini