Bebas isu potong Q, Malaysia wajar belajar kejayaan Singapura
Program vaksinasi di Singapura mencapai angka memuaskan dengan lebih 350,000 penduduk, termasuk sekitar 80 peratus pekerja penjagaan kesihatan, telah menerima suntikan vaksin Covid-19 pertama mereka setakat ini.
Seramai 215,000 orang pula telah menerima dos kedua mereka, kata Menteri Kesihatan, Gan Kim Yong, di Parlimen hari ini dalam perbahasan mengenai belanjawan kementeriannya.
Lebih 40,000 warga emas berusia lebih 70 tahun juga telah menerima dos pertama mereka dan Kementerian Kesihatan akan menawarkan suntikan itu kepada warga emas berusia 60 tahun dan ke atas mulai hujung bulan ini, lapor Berita Harian Singapura.
Katanya, kerajaan juga mengumumkan satu pusat vaksinasi akan dibina di setiap bandar mulai pertengahan Mac.
Setakat ini, Singapura menggunakan vaksin Covid-19 keluaran Pfizer-BioNTech dan Moderna.
Bulan lalu, Singapura menerima penghantaran pertama vaksin Covid-19 keluaran Sinovac namun belum diluluskan untuk kegunaan awam. – HM