Bekas Pegawai Tugas-Tugas Khas Menteri Agama PH dedah punca Ismail melantik Jamil Khir
Saya pernah sekejap menjadi Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Jadi saya ada sedikit-sebanyak maklumat mengenai struktur dan kedudukan ahli kabinet dan pentadbiran negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri dilantik dan berfungsi dengan kuasa yang “diperturunkan” oleh Perdana Menteri untuk tugas-tugas khas tertentu. Menteri di Jabatan Perdana Menteri bukan berdiri dengan sendirinya seperti kementerian-kementerian lain.
Sebagai contoh, kuasa pentadbiran di dalam kerajaan mengenai Agama Islam di peringkat Wilayah Persekutuan adalah kuasa Perdana Menteri. Akan tetapi Perdana Menteri boleh “menurunkan” kuasanya dan melantik seorang Menteri di Jabatan Perdana Menteri khusus untuk menjaga hal ehwal agama Islam ini.
Maka atas sebab itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri tidak ada Ketua Setiausaha (KSU) seperti kementerian-kementerian lain akan tetapi terus kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN).
Begitu juga dengan mesyuarat peringkat kementerian atau post-cab (Mesyuarat khas selepas mesyuarat Kabinet). Post-Cab bagi Menteri di Jabatan Perdana Menteri ada dua kali. Satu bersama Perdana Menteri dan kemudiannya di peringkat ketua-ketua jabatan di bawahnya.
Sebab itu dahulu jika saya ada sebarang keperluan atau urusan berkaitan dengan perkhidmatan saya, saya perlu berurusan dengan Jabatan Perdana Menteri.
Jadi apabila Perdana Menteri sekarang melantik mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Jamil Khir Baharom sebagai Penasihat Agama Kepada YAB Perdana Menteri Malaysia, bagi saya ia adalah “bertindan” dengan kewujudan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama). Atau lebih popular disebut Menteri Agama. Kerana tugas-tugas berkait dengan pentadbiran agama sudah ada seorang menteri khas dan seorang timbalan menteri khas yang menjaganya.
Tiada keperluan lantikan sedemikian bagi saya, kecualilah Perdana Menteri sendiri tidak meyakini Menteri Agama yang dipilihnya sendiri.