Bersatu bergolak, Ahli Parlimen Gerik letak jawatan setiausaha bahagian
Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob mengesahkan meletak jawatan Setiausaha Bahagian BERSATU Gerik.
Menerusi satu kenyataan hari ini, beliau memaklumkan, keputusan itu dibuat kerana beliau sebelum ini dilantik ke jawatan itu oleh Pemangku Ketua Bahagian BERSATU Gerik, Mohamad Rizal Abd Razak yang turut meletak jawatan pada 1 Oktober lalu.
Fathul Huzir menegaskan, peletakan jawatannya itu bagaimanapun tidak berkaitan dan tidak sepatutnya dikaitkan dengan kedudukan beliau sebagai Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN).
“Saya letak jawatan setiausaha bahagian kerana ini adalah lantikan oleh pemangku ketua bahagian. Apabila beliau meletak jawatan, maka amat wajar sekiranya saya juga turut tertib dalam melakukan perkara sama sebagai tanda solidariti saya kepada pemangku ketua bahagian.
“Hal berkaitan BERSATU Gerik adalah hal parti, anggota dalam PN dan ia tidak wajar dikaitkan dengan kedudukan saya sebagai salah seorang Ahli Parlimen PN,” katanya memetik Berita Harian.
Menurutnya, kenyataan itu dibuat berikutan timbul pelbagai spekulasi dan khabar angin tanpa asas ekoran peletakan jawatannya pada 6 Oktober lalu sebagai Setiausaha Bahagian BERSATU Gerik.
“Khidmat sebagai Ahli Parlimen bagi PN kekal dan saya tidak sesekali akan berundur daripada barisan pembangkang mahupun menyatakan sokongan kepada kerajaan hari ini. Kesetiaan saya tidak boleh dijual beli,” katanya.
Dua minggu lalu, media melaporkan Ahli Parlimen PN Kuala Kangsar mewakili BERSATU, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid mengisytiharkan sokongan terhadap kerajaan diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.