Bila ‘total lockdown’ mulai diremehkan, 4 penjawat awam antara 32 ditahan serbuan ‘private party’

Bila ‘total lockdown’ mulai diremehkan, 4 penjawat awam antara 32 ditahan serbuan ‘private party’

Penjawat awam dan warga asing antara 32 individu ditahan polis ketika asyik berparti dalam serbuan ke atas dua bilik hotel di Jalan Pinang awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Mohamad Zainal Abdullah, berkata serbuan dilakukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Dang Wangi kira-kira 2 pagi itu susulan maklumat dan risikan dilakukan.

“Menerusi serbuan itu, seramai 32 individu termasuk lapan warga asing dan empat penjawat awam berusia lingkungan 20 hingga 40-an ditahan malah polis turut menemui sejumlah dadah jenis ketamin.

“Seramai 20 orang warga tempatan dikenakan kompaun masing-masing RM2,000 manakala kertas siasatan dibuka ke atas lapan warga asing dan empat penjawat awam yang ditahan,” katanya dalam kenyataan.

Mohamad Zainal berkata, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 21A Akta 342 dan Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPDPPB)(No.2) 2021 kerana melakukan aktiviti terlarang (aktiviti sosial/perhimpunan) dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

Katanya, siasatan awal mendapati bilik hotel tersebut ditempah untuk tujuan “private party” oleh penjawat awam tersebut dengan bayaran RM500 hingga RM700.

“Semua lapan warga asing dan empat penjawat awam yang ditahan akan dituduh di mahkamah selepas mendapat arahan Timbalan Pendakwa Raya,” katanya.

Sumber: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/06/06/private-party-di-bilik-hotel-4-penjawat-awam-antara-32-ditahan/