Bimbang ditalkinkan penyokong sendiri, Noh ambil keputusan tangguh sertai PN

Bimbang ditalkinkan penyokong sendiri, Noh ambil keputusan tangguh sertai PN

Perikatan Nasional (PN) membayangkan kemungkinan bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar menyertai gabungan berkenaan.

Memetik Awani, Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pada masa ini Noh sering berada di pentas PN untuk memberi sokongan dan menarik sokongan rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor.

“Tan Sri (Noh) tunggu apa lagi (kerana) dua atau tiga hari lepas di (Program Dialog PN) Sungai Besar dan malam ini di Tanjong Karang.

“Anak (Nurul Syazwani) dah masuk, ayah tunggu apa lagi?” katanya semasa berucap semasa Program Jelajah Selangor Baharu di Kompleks Pas Tanjong Karang di sini pada malam Ahad.

Mohamed Azmin yang juga bekas Menteri Besar Selangor berkata, sebelum ini beliau dan Noh sering tidak mempunyai pandangan sama dalam banyak perkara.

“Tan Sri Noh Omar tak pernah setuju dengan saya, tapi Alhamdulillah malam ini kita bersama-sama di Tanjong Karang,” – Azmin Ali

Bagaimanapun, Mohamed Azmin memberitahu, Noh mungkin menunggu waktu sesuai untuk mengumumkan kemasukan bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang itu dalam PN.

“Boleh saya umum malam ini Tan Sri? Tak apa dia (Noh) ada strategi tersendiri,” jelas beliau.

Sinar Harian pada 1 Mei lalu melaporkan, Noh mahu memastikan Parlimen Tanjong Karang sebagai kubu kuat PN sekali gus membantu kemenangan gabungan itu pada PRN Selangor.

Noh berkata, perjuangannya ketika ini untuk memastikan rakyat menyokong PN sama seperti usaha yang pernah dilakukan beliau lebih 30 tahun lalu dalam membangunkan Barisan Nasional (BN) di Parlimen Tanjong Karang