Budak lelaki 2 tahun maut, kesan lebam & melecur di badan ketika dijaga anak jiran
Suami isteri dan anak lelakinya ditahan polis berhubung kes kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Juna Yusoff berkata, penahanan itu susulan laporan dibuat Klinik Kesihatan (KK) Bagan Seri berhubung seorang kanak-kanak dihantar pasangan berusia 62 dan 57 tahun itu, 7 petang semalam.
Katanya, pasangan berkenaan menghantar kanak-kanak itu ke KK Bagan Serai selepas mendapati mangsa tidak sedarkan diri pada 6 petang.
“Kanak-kanak itu adalah anak jiran pasangan terbabit dan diambil oleh anak lelakinya yang berusia 26 tahun sejak Selasa lalu untuk bermain.
“Suspek pernah berkahwin dan kini seorang duda.
“Hasil pemeriksaan oleh pegawai perubatan mendapati mangsa sudah tidak bernyawa dan terdapat kesan lebam dan luka melecur di badannya,” katanya dihubungi hari ini.
Menurutnya, hasil bedah siasat di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh mendapati kematian berpunca daripada pendarahan teruk di kepala akibat kesan hentakan benda tumpul dan luka melecur seluruh badan akibat benda panas serta terdapat kecederaan pada lubang dubur mangsa.
“Susulan itu, pasangan terbabit serta anaknya ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Orang awam yang mempunyai maklumat diminta menghubungi polis di talian 05-7212222 atau pegawai penyiasat Asisten Superintendan Amri Mat Nayan di talian 011-1309 2525,” katanya.