Buli pelajar MRSM, Pengerusi MARA mahu siasat dahulu kesahihan video
Negara sekali lagi digemparkan kejadian buli melibatkan pelajar sekolah. Ianya berlaku tidak lama selepas perbicaraan kes kematian pelajar UPNM, Zulfarhan akibat didera rakan-rakannya selepas didakwa mencuri sebuah komouter riba milik mereka.
Dalam kejadian terbaru semalam, tular dua klip video berdurasi 10 saat itu memaparkan seorang pelajar menumbuk seorang pelajar lain dalam asrama yang didakwa berlaku di sekolah berasrama penuh di bawah kelolaan MARA di Kuala Kangsar.
Mengulas isu tersebut, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Azizah Mohd Dun dalam nada kesal berasa terkejut selepas melihat rakaman video kejadian buli melibatkan pelajar dikatakan berlaku di sebuah sekolah bawah kelolaan agensi itu di Perak.
Susulan itu, beliau berkata pihaknya akan menyiasat kesahihan rakaman video berkenaan.
.
“Kami akan menyiasat kesahihan video tersebut dan pasti akan mengambil tindakan terhadap individu yang terlibat, jelasnya lagi seperti dilaporkan portal akhbar FMT.
.
“Perkara ini tidak sewajarnya berlaku terutama dalam kalangan pelajar sekolah. Ini tidak sewajarnya dijadikan sebagai budaya kerana pelajar ini masih bawah umur dan masa depan mereka perlu dilindungi,”
Azizah melihat video itu apabila ditunjukkan wartawan selepas melancarkan satu program di Ampang Baru, Ipoh.
“Saya terkejut melihat video ini kerana ia merupakan budaya yang tidak sihat dalam kalangan pelajar sekolah. Ini budaya yang tidak sihat dan pastinya kita semua tidak mahu ia berulang lagi,” katanya.
Terdahulu, Ketua Polis Perak, Mior Faridalathrash Wahid, berkata beliau sudah mengarahkan polis Kuala Kangsar menjalankan siasatan.
Meninjau ruangan komen pula, wargamaya berpendapat sikap pelajar yang semakin berani melakukan perbuatan buli ini berkemungkinan terdorong meniru aksi sama dilakukan oleh pembuli Allahyarham Zulfarhan yang terlepas daripada hukuman berat.