Carsome, syarikat jenama Malaysia bakal disenaraikan di Nasdaq dan Bursa Saham Singapura

Carsome, syarikat jenama Malaysia bakal disenaraikan di Nasdaq dan Bursa Saham Singapura

Syarikat Malaysia, Carsome dilaporkan akan disenaraikan di Nasdaq dan Bursa Saham Singapura dengan penilaian syarikat sekitar $2 bilion (RM8 bilion), lapor Forbes.

Menurut Deal Street Asia dan sumber terdekat laman berita tersebut, Carsome yang menjalankan perniagaan kereta terpakai kini dilaporkan telah memfailkan IPO dengan Nasdaq.

Difahamkan bahawa langkah ini diambil setelah dicadangkan oleh pelabur utama Carsome, 65 Equity Partners, sebuah unit dana kekayaan Singapura Temasek Holdings dalam misi untuk mengumpulkan $400 juta.

Forbes yang cuba mendapat maklum balas syarikat itu bagaimanapun tidak mendapat sebarang komen mengenai laporan tersebut.

Sebelum ini, Carsome menjadi unicorn teknologi terbesar Malaysia selepas ia menerima $170 juta dalam pusingan pembiayaan yang menaikkan penilaiannya kepada $1.3 bilion tahun lepas.

Beberapa pelabur lain yang menyokong Carsome termasuk MediaTek milik Tsai Ming-kai, Kumpulan Gokongwei milik Lance Gokongwei dan Kumpulan Catcha milik Patrick Grove.

Syarikat itu telah mengembangkan operasinya di seluruh rantau melalui beberapa siri pengambilalihan. Pada bulan Mac, Carsome membeli pegangan majoriti dalam CarTimes, salah satu syarikat kereta terbesar di Singapura. Perjanjian itu dibuat hanya sebulan selepas Carsome menyelesaikan pengambilalihan iCar Asia yang disenaraikan di Australia dengan harga $200 juta.

Sumber – The Vocket