Cetak & sebar 1 juta Al-Quran percuma, respon PM Malaysia terhadap pihak cetus kebencian agama undang pujian dunia
Malaysia menggunakan pengalamannya berdepan dengan provokasi kelompok yang sengaja cuba mencetuskan kebencian agama di negara ini apabila mengumumkan satu langkah luar biasa terhadap kejadian membakar Al-Quran yang berlaku di hadapan kedutaan Turkiye di Sweden baru-baru ini.
Memetik Malaysiakini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia akan mencetak sejuta naskhah al-Quran untuk diedarkan ke seluruh dunia sebagai reaksi terhadap tindakan membakar kitab suci itu oleh ahli politik pelampau Sweden-Denmark, Rasmus Paludan baru-baru ini.
Beliau berkata, langkah itu diambil susulan tindakan kontroversi membakar al-Quran di Sweden.
“Saya setuju cara paling berfaedah menjawab kerja-kerja gila dan biadab ini ialah meneruskan usaha yang telah dikeluarkan dan kita bertekad insha-Allah dalam masa singkat cetak dan mengedar 1 juta al-Quran ke seluruh dunia.
“Dan disusuli beberapa program kearah pemahaman dan penghayatan Quran dengan mesej dan risalah yang jelas,” katanya kepada pemberita pada Festival Seni Al-Quran di Kompleks Nasyrul Quran, Putrajaya hari ini.
Anwar berkata proses mencetak al-Quran telah bermula dan kerajaan akan mengedarkan kitab suci itu serta menghubungi negara Islam lain bagi tujuan pengedarannya.
“Sebahagian besar (peruntukan) dari kerajaan, kita akan rujuk majlis agama, tentunya kita akan hubungi rakan-rakan kita negara Islam yang lain,” katanya.
Minggu lalu, pemimpin parti Stram Kurs (Hard Line) Paludan mencetuskan kontroversi selepas dia membakar salinan kitab suci itu di Stockholm, Sweden, sehingga membangkitkan kemarahan masyarakat antarabangsa.
Stram Kurs yang ditubuhkan pada 2017 bertanding di Denmark dan Sweden tetapi gagal memenangi sebarang kerusi.
Anwar menuntut kerajaan Sweden mengambil tindakan terhadap tindakan Islamofobia ahli politik itu yang disifatkannya sebagai provokasi besar kepada umat Islam di seluruh dunia.
Kementerian Luar juga telah menyampaikan bantahan dan kekecewaan Malaysia terhadap keengganan pihak berkuasa Sweden mengambil tindakan terhadap Paludan, termasuk tindakan yang serupa yang dilakukannya pada April 2022, meskipun mendapat tentangan masyarakat antarabangsa.
Wisma Putra berkata kementerian itu menggesa pihak berkuasa Sweden mengambil langkah serius untuk menentang sebarang unsur keganasan dan kebencian terhadap Islam di Sweden.
Menurutnya perbuatan itu menjejaskan semangat hidup bersama berbilang agama secara aman sekiranya Islamafobia dan Xenofobia terus berleluasa.