Cuaca panas melampau? Ini DIY pasang exhaust fan pada tingkap rumah
Hari ini, Malaysia telah dilanda cuaca panas yang melampau khususnya di kawasan Semenanjung Malaysia.
Manakala Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) juga telah mengeluarkan amaran cuaca panas pada Tahap 1 di kawasan Bentong hari ini.
Kawasan tersebut bakal berdepan dengan suhu panas kira-kira 35 hingga 37 darjah Celcius, untuk tempoh tiga hingga lima hari.
Sungguhpun kawasan lain tidak mencatatkan bacaan suhu melebihi 35 darjah Celcius, namun banyak kawasan rata-rata mencatatkan bacaan suhu melebihi 30 darjah Celcius.
Malah fenomena El Nino yang diramal melanda dunia bermula Jun ini bakal menyaksikan kenaikan suhu pada masa yang akan datang.
Dalam cuaca yang sangat panas ini, penggunaan perkakas elektrik seperti pelembap udara, pendingin hawa, kipas bertambah kerap dari semasa ke semasa.
Selain itu, pelbagai kaedah kurang konvensional yang digunapakai orang ramai bagi menangani rasa bahang di dalam rumah.
Antaranya, meletakkan bekas (seperti baldi, besen) yang mengandungi air di beberapa titik tumpu dalam sesuatu ruang di tempat kediaman masing-masing.
Untuk hilangkan panas, anda juga boleh memasang exhaust fan pada bahagian tingkap rumah
Salah satu cara yang digunakan untuk menghilangkan rasa bahang di rumah adalah, memasang exhaust fan pada bahagian atas rumah.
Hal ini adalah untuk memudahkan pengaliran aliran udara panas yang memiliki tekanan rendah untuk keluar daripada ruang tersebut.
Namun pemasangan exhaust fan ini agak sukar, lagi-lagi jika dinding tidak memiliki sebarang lubang yang mampu memuatkan bahagian ini.
Jika ada tingkap sekalipun, ia merupakan tingkap jenis nako yang biasanya agak ‘takut’ diusik kerana kebarangkalian cermin kaca untuk menggelongsor agak tinggi.
Sehubungan itu, seorang pengguna TikTok yang dikenali sebagai Aiman Meelo (@aimanmeelobiz) berongsi cara untuk memasang exhaust fan, pada tingkap nako.
Biasanya, exhaust fan akan dipasang pada bahagian rumah paling panas iaitu dapur kerana aktiviti menghasilkan banyak haba berlaku di sana.
Dalam video yang berdurasi satu minit satu saat ini, Aiman menunjukkan cara memasang kipas tersebut yang memiliki saiz kira-kira 10 inci persegi.
Disebabkan tingkap berkenaan memiliki jeriji, maka Aiman akan memasang kipas berkenaan dari bahagian belakang tingkap tersebut.
1. Sediakan plug point
Sebelum memulakan kerja pemasangan exhaust fan, anda perlu meletakkan plug point yang berdekatan dengan tempat pemasangan kipas tersebut.
Ini disebabkan, kipas berkenaan memerlukan tenaga elektrik untuk berfungsi. Dengan adanya plug point, anda boleh menyambungkan sumber tenaga elektrik pada kipas tersebut untuk mengalirkan udara panas keluar dari tempat kediaman anda.
2. Alihkan beberapa bahagian tingkap ikut kesesuaian
Seterusnya, potong bahagian tingkap mengikut saiz kipas berkenaan. Sebagai contoh, jika kipas tersebut memakan ruang sebanyak dua panel tingkap, tanggalkan bahagian tersebut.
Jika ada bahagian besi di tengah-tengahnya, potong bahagian besi. tersebut.
3. Tutup ruangan kosong bersebelahan kipas
Selepas memasang exhaust fan, tutup bahagian yang terbuka dengan menggunakan apa-apa bahan seperti kotak ataupun bahan.
Potong bahan tersebut mengikut saiz kawasan yang terbuka tadi untuk mengelakkan serangga atau haiwan liar memasuki tempat kediaman pada waktu malam.