Daftar segera akaun KWSP anak berusia 14 tahun ke atas dan ini jumlah insentif yang akan diterima daripada kerajaan
Ramai yang telah mengeluarkan dana persaraan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) baru-baru ini. Ini rentetan daripada kebenaran kerajaan untuk pengeluaran wang dilakukan bagi membantu memulihkan semula ekonomi pencarum dan membantu rakyat berdiri semula selepas teruk menerima tempias Pandemik COVID-19.
Tahukah anda bahawa anak anda yang berumur 14 tahun dan ke atas sudah boleh mendaftar akaun KWSP? Perkara ini sangat baik sebagai simpanan jangka panjang dan anak anda layak menerima dividen pada setiap tahun.
Menariknya, pihak kerajaan ada menyediakan insentif tambahan sebanyak 15%, maksimum RM250 setahun di bawah Skim i-Saraan. Sekiranya anda membuat caruman sebanyak RM3000, kerajaan akan memberikan insentif maksimum RM250 sebagai galakan di bawah skim ini.
Cara Daftar Akaun
Pendaftaran boleh dibuat dengan mudah di Kiosk KWSP. Daftarkan anak anda di Kiosk KWSP dan bawa bersama kad pengenalan serta cap jari anak turut diperlukan. Selesai sahaja pendaftaran di Kiosk KWSP, maklumkan kepada pegawai KWSP terdekat untuk membantu anak anda membuka i-Akaun.
Ubah simpanan anda kepada simpanan shariah. Kebiasaannya, pegawai KWSP akan membantu anda dalam menyelesaikan proses ini.
Setelah i-Akaun anda selesai didaftarkan, akaun simpanan shariah telah ditukar, anda perlu mendaftarkan diri dalam caruman i-Saraan. Anda boleh membaca lebih lanjut berkenaan dengan caruman i-Saraan di SINI.
Untuk mudah faham, i-Saraan adalah merupakan caruman secara sukarela. Jangan risau, proses pendaftaran i-Saraan ini juga akan dibantu oleh pegawai KWSP yang bertugas.
Selesai sahaja pendaftaran, anda akan diberikan panduan selanjutnya untuk membuat bayaran caruman secara atas talian. Mudah je kan?
Apa Kelebihannya?
Walaupun ada yang berkata bahawa simpanan di KWSP ini merugikan kerana ianya bukan seperti skimp pelaburan yang lain (yang mudah dikeluarkan), tetapi anda harus ingat bahawa simpanan di KWSP adalah merupakan satu simpanan jangka masa panjang untuk kegunaan sebagai wang persaraan kelak.
Selain itu, dengan inisiatif yang baik daripada kerajaan iaitu pemberian insentif sebanyak 15% (jumlah maksimum insentif sebanyak RM250 setahun), anda dapat menggandakan wang caruman sedia ada. Ye lah, siapa nak bagi RM250 secara begitu sahaja kan?
Anda layak untuk menerima dividen caruman pada setiap tahun. Walaupun bermula dengan caruman yang sedikit, tetapi pepatah Melayu ada mengatakan, sikit-sikit, lama-lama jadi bukit.
Adakah caruman ini perlu dilakukan setiap bulan? Jawapannya tidak! Anda boleh membuat caruman pada bila-bila masa. i-Saraan merupakan skim caruman sukarela. Jadi, anda tidak terikat untuk membuat caruman pada setiap bulan.
Sebagai pencarum, anda layak untuk menerima manfaat kematian sebanyak RM2500. Jika kita ingin bandingkan instrumen pelaburan Islam yang lain dengan dividen yang diberikan oleh simpanan shariah KWSP, pelaburan ini nampaknya lebih berbaloi buat ketika ini.
Selamat Melabur & Menyimpan!
Sumber – MajalahLabur.com