Dakwa sistem JPJ kuno, Ka Siong beri bayangan bersedia membeli sistem baru

Dakwa sistem JPJ kuno, Ka Siong beri bayangan bersedia membeli sistem baru

Bengang dengan kesesakan teruk berpunca daripada sistem perkhidmatan kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan yang sudah kuno, Wee Ka Siong mula membayangkan bakal menaik taraf sistem tersebut sedikit masa lagi.

Menteri tersebut berkata sistem perkhidmatan kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedia ada telah pun berusia lebih 10 tahun dan perlu dimodenkan selari dengan era digitalisasi.

Menurut laporan portal Utusan Online, Ka Siong telah melakukan lawatan mengejut ke Ibu Pejabat JPJ Johor hari ini turut menegur agensi kerajaan tersebut agar memantau kesesakan yang berlaku di ibu pejabatnya, khususnya pada hari Ahad.

Beliau turut melahirkan rasa sedih dan terkilan apabila melihat orang ramai terpaksa membuang masa dengan beratur panjang dan berjemur di bawah terik matahari.

“Secara terus terang, saya sedih dan terkilan apabila melihat orang ramai masih beratur panjang di sekeliling bangunan JPJ Johor. Saya terus menyiasat punca yang menyebabkan ‘queue’ yang panjang.

“Ada yang beritahu Lesen Memandu Malaysia (LMM) tidak dapat diperbaharui di Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan Pejabat Pos, selain ada yang mempersoal sistem MySikap yang transaksinya dibuat secara dalam talian, namun masih lagi perlu hadir ke JPJ untuk urusan percetakan.

“Selain itu, daripada empat mesin cetak LMM yang dibekal Percetakan Keselamatan Nasional (PKN), hanya dua mesin yang berfungsi di Pejabat JPJ Johor ini. Perkara ini amat mengecewakan dan saya terus menghubungi serta mengarahkan PKN segera membaiki atau menghantar mesin cetak LMM,” katanya dalam laman Facebook miliknya di sini hari ini.

Tambah Ka Siong, beliau membuat kesimpulan bahawa sistem JPJ agak ketinggalan dan perlu ada anjakan paradigma ke arah digitalisasi untuk jangka panjang bagi memastikan semua perkhidmatan kaunter JPJ menjadi lebih efisien dan tidak menyusahkan rakyat.

“Saya akan cuba sedaya upaya mengimbangi jurang antara perancangan JPJ dan aspirasi rakyat. Apa yang penting, perkhidmatan yang diberikan perlulah sentiasa baik, lancar, menjimatkan masa dan memenuhi kehendak orang ramai,” ujarnya.