Dakwaan terlibat dalam kes gangguan seksual, ini penjelasan Peja

Dakwaan terlibat dalam kes gangguan seksual, ini penjelasan Peja

 

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menafikan beliau terlibat dalam dakwaan gangguan seksual terhadap seorang perempuan yang tular dalam media sosial, hari ini.

Ahmad Faizal berkata, beliau sudah membuat laporan polis di Balai Polis Sri Hartamas sebentar tadi selepas dimaklumkan bahawa terdapat laporan mengaitkan nama dirinya dengan beberapa tuduhan tidak benar.

“Dalam laporan polis saya, saya mengesahkan bahawa tuduhan-tuduhan ini adalah tidak benar sama sekali dan saya percaya ada elemen hasutan jenayah dan fitnah terbabit dalam laporan ini.

“Dokumen tersebut menyebut masa, tarikh dan lokasi tentang ‘interaksi’ tertentu. Saya telah pun memaklumkan kepada pihak polis bahawa pada hari dan waktu tersebut, saya berada di Negeri Sembilan kerana menjalankan tugas-tugas rasmi sebagai Timbalan Presiden Bersatu. Ramai saksi yang boleh mengesahkan kehadiran saya,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Terdahulu, tular sebuah laporan polis dalam media sosial yang mendakwa bekas Ahli Parlimen Tambun itu melakukan gangguan seksual terhadap seorang wanita dengan memberi komen yang berbau lucah.

Melalui laporan tersebut, Ahmad Faizal didakwa melakukan gangguan tersebut di Plaza Damas.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkata, beliau memberi kepercayaan sepenuhnya kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menjalankan siasatan dan menolak laporan palsu tersebut.

Jelasnya, beliau berhak mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap pihak yang terlibat dengan dakwaan tersebut.

“Saya harap dalam tempoh berkempen ini, kita hanya berbicara tentang politik dan polisi yang boleh memajukan negara.

“Serangan berbentuk peribadi ini tidak memberikan sebarang manfaat dan hanya membazirkan masa dan sumber pihak berkuasa PDRM,” katanya.