“Dia tarik kain jubahnya, tutup langsir terus cuba untuk cium” – Mondy dedah disentuh pendakwah bebas di hari pertama jejak kaki ke Malaysia
Sejak kedatangan Mondy Tattoo ke Malaysia, ramai yang mempertikaikan tindakan pendakwah bebas yang membawa wanita Indonesia itu yang dianggap tidak masuk akal. Tidak kurang juga, ada yang mengesyaki lelaki berkenaan hanya mempergunakan Mondy sebagai content di media sosial.
Sejak beberapa hari lalu, netizen dihidangkan dengan video-video teaser temubual Caprice bersama Mondy yang mendedahkan sisi gelap pendakwah sensasi itu.
Dalam video bahagian pertama, Mondy mendakwa dia melalui kejadian yang tidak diduga pada hari pertama menjejakkan kaki di negara ini.
“(Selepas scene beri kepada Mondy yang ditemui tidur di tepi jalan) keesokan harinya kami berbincang dan dia mahu memberi pekerjaan.
“Pada malam hari yang sama pasport disediakan, saya terus dibawa ke Malaysia,” katanya.
Kejadian pertama
Setelah tiba di Malaysia, Mondy mendakwa dia telah disentuh oleh lelaki berkenaan di dalam kereta Toyota Alphard.
“Di dalam kereta itu, terjadi perkara yang tidak diduga dan kurang sopan. Sedangkan dalam Islam, lelaki dengan wanita yang bukan mahram tidak boleh bersentuhan. Tetapi berlakunya sentuhan itu dalam kereta.
“Reaksi saya ketika itu, eh Ya Allah, dia kan pandai agama tapi kenapa dia tiba-tiba pegang tangan saya. Sedangkan saya bukan mahramnya. Saya terus lepaskan tangan dan kata tak baik buat begini,” katanya.
Kejadian kedua
Kejadian yang kedua pula, Mondy mendakwa lelaki itu menutup tirai tingkap membuatkan Mondy tertanya-tanya apakah tujuannya berbuat demikian.
Mondy mendakwa lelaki itu sekali lagi cuba mendekatinya. Namun tidak sempat berbuat demikian kerana pemandu datang mengetuk pintu dan bertanya mengapa tirai dibuka sebelum lelaki itu memberi alasan Mondy berasa silau dengan cahaya dari luar.
Kejadian ketiga
Dalam kejadian ketiga, Mondy mendakwa pipinya disentuh oleh lelaki berkenaan yang kononnya memuji tatu di wajahnya kelihatan cantik.
Perbuatan pendakwah itu membuatkan Mondy berasa menyesal datang ke Malaysia. Orang yang dianggap boleh membimbingnya untuk berubah, tidaklah seperti yang dijangkakan.
“Dia sepatutnya menjadi contoh yang baik dan saya yang benar-benar berniat mahu berubah, sanggup datang dari Indonesia ke Malaysia untuk belajar menjadi insan yang lebih baik.
“Tetapi ternyata sebelum belajar, dia sudah berkelakuan seperti itu,” ujarnya.
Tak dapat satu sen pun dari hasil jual sambal live di TikTok
Ditanya mengenai penglibatannya dalam kegiatan menjual sambal dalam langsung di TikTok, Mondy mengakui dia tidak menerima sebarang bayaran daripada hasil jualan itu sehingga ke hari ini.
Mondy bagaimanapun membuat keputusan untuk pulang semula ke negara asalnya selepas dia tidak lagi ‘dipedulikan’ oleh pendakwah berkenaan. Tambahan, Mondy enggan terlalu lama berjauhan dengan anaknya.