Diana Danielle buat tuntutan cerai, ini respons Farid Kamil, “Tanyalah Diana, apa masalah dia..”
Hari ini, kita dikejutkan dengan kemelut rumah tangga pasangan selebriti, Farid Kamil dan Diana Danielle apabila aktres itu dikhabarkan membuat tuntutan cerai pada pagi ini.
Difahamkan, permohonan itu dibuat atas alasan tiada persefahaman dan telah berlaku shiqaq iaitu perbalahan berpanjangan antara mereka.
Farid mahu selamatkan rumah tangga
Bagaimanapun, Farid Kamil Zahari berharap agar isu rumah tangga yang dihadapinya dengan isteri, Diana Danielle dapat diselesaikan dan mereka berdua dapat bertemu jalan perdamaian.
“Saya ingin selamatkan keluarga menerusi jalan perdamaian di mahkamah. Semoga Allah memberi petunjuk dan hidayah,” ujarnya.
Masih sayang Diana, termasuk anak-anak
Disoal mengenai keenggannya melafazkan talak, Farid berkata dia berbuat demikian kerana masih sayang akan keluarganya.
“Saya masih sayangkan Diana dan tentunya, dua cahaya mata, Muhammad dan Aurora,” katanya lagi.
Tiada apa yang berlaku
Mengulas mengenai rumah tangga yang dihadapinya, pengarah berusia 42 tahun itu menafikan bahawa hubungan mereka berdua mengalami krisis sehingga membawa kepada keretakan mahlihai yang dibina sejak 2012.
“Sebenarnya, tiada apapun yang berlaku. Sebagai suami, saya tiada masalah.
“Tanyalah Diana, apa masalah dia,” ujar Farid ketika dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp.
Sementara itu, pelakon filem Anwar: The Untold Story berkata, krisis rumah tangga yang dialami langsung tidak menganggu emosinya. Sebaliknya, sibuk mencari nafkah dan kini berada di lokasi penggambaran.
“Ketika ini, saya sedang sibuk di lokasi penggambaran. Alhamdulillah, fokus saya kini lebih kepada mencari nafkah,” katanya.
Sebelum ini, portal melaporkan rumah tangga pasangan ini bakal retak selepas Diana dilaporkan memfailkan permohonan cerai terhadap Farid pada awal bulan ini.
Permohonan cerai disebut di Mahkamah Rendah Syariah Subang Bestari di Shah Alam, pagi ini. Bagaimanapun, Farid enggan melafazkan cerai terhadap Diana.
Sehubungan itu, Hakim Syarie, Shukran Yusof memerintahkan Farid dan Diana untuk menjalani proses Jawatankuasa Pendamai (JKP).
Untuk rekod, pasangan itu berkahwin pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 10, dan Nur Aurora, 6.