Didakwa hubungan dengan anak-anak dingin selepas berkahwin dua, ND Lala akhirnya bersuara
Selepas penyanyi era 1980-an, Datuk ND Lala berkahwin buat kali kedua, hubungannya bersama anak-anak digambarkan sebagai ‘dingin’ dan tidak lagi baik seperti dahulu.
Bahkan bekas isterinya pernah mengeluarkan kenyataan bahawa pelakon berusia 62 tahun itu bukan sahaja membuang dirinya, tetapi juga anak-anak hasil dari perkahwinan mereka.
ND Lala bagaimanapun memaklumkan kasih sayangnya terhadap anak-anak tidak sedikit pun berubah dan terjejas walaupun sudah bercerai dengan bekas isteri, Fauziah Sarman, 55, pada 2 Ogos lalu.
ND Lala atau nama sebenarnya, Amir Amzah Salleh ketika ditemui berkata, tiada sebarang isu membabitkan hubungan kasih sayangnya dengan anak-anak kerana apa pun yang sudah terjadi, mereka kekal darah dagingnya selama-lamanya.
“Bagi saya, hubungan bersama anak-anak sekarang tiada isu. Sebab mereka tetap kekal sebagai darah daging saya. Mereka itu adalah DNA saya untuk selamanya dan tidak akan pernah berubah.
“Saya tahu dengan segala apa ujian yang sudah berlaku ini membawa impak dalam keluarga. Anak-anak juga diuji, kita juga diuji. Apapun, kita kena sentiasa berlapang dada dan doakan yang baik-baik saja.
“Mungkin pandangan kita pada hari ini juga berdasarkan sumber dan maklumat yang diperoleh membentuk pendirian diri apabila terlihat kebenaran itu dari sisi yang lain,” katanya seperti dilapor Harian Metro.
Pelakon filem Jejaka Perasan itu berkata, atas sebab itu beliau sedaya-upaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menyebabkan ada pihak seperti anak-anak akan terkesan kerana maklumat tidak benar.
Terdahulu, penyanyi lagu Diari YB itu terpalit dengan kontroversi apabila didakwa berkahwin kali kedua secara diam-diam dengan wanita dikenali Siti Munirah Abdul Ghani, 33, yang juga rakan baik anak sulungnya, penyanyi Shila Amzah.
Kisah perkahwinan itu mula terbongkar apabila bekas isteri pertamanya, Fauziah membuat perkongsian foto wanita terbabit di Instagram pada awal April lalu.
Bagaimanapun, pada 5 September lalu, Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mengesahkan lafaz cerai dibuat ND Lala secara ‘voice note’ (rakaman suara) di WhatsApp terhadap Fauziah pada 2 Ogos lalu adalah sah.
Selepas lama berdiam diri dengan pelbagai isu perkahwinannya, ND Lala akhirnya muncul membuat penjelasan terperinci untuk beberapa perkara menerusi hantaran video yang dimuat naik di Instagram pada 8 September lalu.
Pasangan ND Lala dan Fauziah sebelum bercerai sudah hidup bersama sebagai suami isteri selama 34 tahun sejak 1989. Mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Nur Shahila, 33, Amir Syafiq, 30, Amir Syahir, 28, dan Nur Syuhada, 25.