Disahkan mati akibat ditembak, ini sejarah kehebatan bekas PM Jepun, Shinzõ Abe
Tulisan ini disiarkan pada 23 Oktober 2017
ABE MITHALI
Shinzō Abe berjaya mempertahankan majoriti 2/3 kerusi Liberal Democratic Party (LDP) di Dewan Perwakilan (House of Representative) Jepun. Ini bermakna Abe diberi mandat 4 tahun lagi untuk menerajui kerajaan Jepun.
Jika tiada aral lintang, Abe bakal menjadi PM Jepun yang paling lama berkuasa (2012-2021) dengan memerintah selama 3,192 hari, mengatasi tempoh pemerintahan Eisaku Satō (1964-1972) iaitu 2,798 hari dan Shigeru Yoshida (1946-47; 1948-1954) yang memerintah selama 2,616 hari.
Tindakan Abe membubar parlimen dan memanggil pilihanraya kali ini sebenarnya bersifat “gamble”. Sejak Julai 2017, kedudukan Abe dalam bahaya. Beliau dipersalahkan atas kekalahan LDP dalam pilihanraya tempatan Tokyo di tangan Yuriko Koike. Kadar “approval rating” terhadap Abe menjunam ke 29%. Sejarah 2007 bakal berulang, di mana Abe yang pertama kali menjawat PM masa itu terpaksa meletak jawatan akibat kekalahan LDP dalam pilihanraya dewan House of Councillors yang menyebabkan “approval rating” Abe menjunam ke 29%.
Abe yang berumur 52 tahun ketika itu merupakan PM termuda dalam sejarah Jepun. Abe ketika itu terlalu muda dan mentah. Abe tak mampu bertahan dengan desakan dalaman parti dan beliau memilih untuk melepaskan jawatan kepada Yasuo Fukuda dan Tarō Asō yang telah lama mengambil peluang ke atas kegagalan Abe.
Seperti yang dikatakan oleh Machiavelli, kejayaan politik bergantung pada “fortuna” (fortune / chance) dan “virtù” (skill). 6 tahun selepas Abe membawa diri jauh daripada teras kuasa LDP, LDP berada dalam keadaan lemah. Politik Jepun dalam tenat, dalam masa 6 tahun tiada seorang PM pun mampu kekal lebih daripada setahun. Abe mengubah imejnya yang lemah lembut dan kembali sebagai “strongman” yang boleh “make Japan great again” melalui “Abenomics”. Akhirnya beliau diberi peluang kedua sebagai PM pada Disember 2012.
Dan untuk kali ini, Abe juga berjaya “seize the moment” dan “turn disadvantage into advantage” dengan mencabar balik Yuriko. Kini Abe berjaya mencatat rekod kemenangan, maka senyaplah semua musuh-musuh Abe dalam LDP. Tiada lagi alasan untuk menggulingkan presiden.
Sebenarnya Abe nak jadi PM lama-lama bukan sebab gila kuasa. Abe adalah seorang anak mithali, beliau menjadi PM sebenarnya adalah untuk menunaikan hasrat ayahnya, Shintaro Abe.
Shintaro Abe merupakan salah seorang ahli LDP yang terkemuka semasa 1980-an, namun Shintaro tak berjaya menjadi PM kerana ditewaskan oleh rakan seperjuangannya, Noboru Takeshita dalam pemilihan presiden LDP tahun 1987. Ketika itu, Shinzō Abe merupakan pembantu kepada ayahnya. Beliau menangis kuat setelah mengetahui keputusan tersebut dan menganggap Takeshita telah mengkhianati ayahnya.
Hari ini, salah seorang pencabar Abe ialah Nukaga Fukushiro, anak murid kepada Takeshita. Jadi secara simboliknya, Abe sedang membalas dendam bagi pihak ayahnya. Abe umpama daimyō (warlord) di zaman Sengoku yang berusaha mempertahankan hak dan kehormatan keluarganya.
Selain itu, Abe juga merupakan seorang cucu mithali. Abe dijangka akan memanfaatkan 4 tahun yang akan datang untuk terus mendesak agenda pemindaan Perlembagaan Jepun yang melarang Jepun untuk memiliki tentera sendiri. Abe ingin menunaikan hasrat atuknya, Nobusuke Kishi (岸信介) yang ingin melihat Jepun kembali menjadi sebuah negara yang mampu mempertahankan diri.
Perlembagaan Jepun tahun 1947 yang diperkenalkan selepas kekalahan Jepun dalam Perang Dunia Kedua (WW2) menyatakan dalam Perkara 9 bahawa “the Japanese people forever renounce war as a sovereign right of the nation” (日本国民は「国権の発動たる戦争・・・永久にこれを放棄する」). Justeru itu Jepun tidak memiliki tentera atau “gun” (軍), yang ada hanya Self-Defense Forces (SDF) atau “Jieitai” (自衛隊).
Tujuan Perkara 9 diperkenalkan adalah agar Amerika memikul tanggungjawab pertahanan Jepun, sementara itu Jepun hanya perlu berfokus kepada soal pembangunan untuk memajukan ekonomi Jepun yang hancur akibat perang. Dasar ini di disokong oleh PM ketika itu, Shigeru Yoshida dan dikenali sebagai Doktrin Yoshida.
Kishi mencabar Doktrin Yoshida. Semasa Kishi menjadi PM (1957-1960), Kishi menandatangani perjanjian Treaty of Mutual Cooperation and Security atau “Anpo” (安保) dengan Amerika Syarikat. Disebabkan perjanjian pakatan ketenteraan merupakan satu “mutual defense commitment”, jadi pemeteraian perjanjian ini sebenarnya adalah langkah pertama agar Jepun kembali memiliki tentera (rearm). Dasar Kishi ini sangat kontroversial dan Kishi meletak jawatan akibat bantahan orang ramai terhadap Anpo.
Ideologi Kishi diwarisi oleh ahli LDP yang melihat diri sebagai “Kishi-ha” (岸派), seperti Takeo Fukuda, Shintaro Abe (menantu Kishi), Junichiro Koizumi dan Shinzō Abe sendiri. Koizumi mengguna anti-terrorism sebagai alasan untuk menghantar SDF ke Iraq dan Afghanistan, di luar lingkungan kawasan wilayah Jepun. Abe pula mengguna ancaman China sebagai alasan. Tahun 2007, hanya 67% rakyat Jepun saja yang berpandangan negatif terhadap China; pada tahun 2013, peratus tersebut meningkat kepada 93%.
Dan tentunya China sangsi dengan niat Abe. China mendakwa bahawa Abe cuba menghidupkan kembali militarisme Jepun semasa zaman WW2, dengan mengungkit fakta bahawa atuk kepada Abe iaitu Kishi adalah seorang “class A war criminal”.
Dengan majoriti 2/3 yang ada, Abe mampu mencapai cita-citanya. Cuma, Abe bakal menghadapi tentangan daripada sebahagian besar rakyat yang mempertahankan Perkara 9. Adakah “fortuna” akan menyebelahi Abe kali ini agar beliau tidak mengulangi nasib Kishi? Dan apakah “virtù” yang Abe ada untuk mengubah persepsi rakyat?
Dalam 4 tahun yang akan datang, Abe bakal menjadi “game changer” di Asia Timur.
gambar kiri: Abe menziarahi kubur Kishi.
gambar kanan: Kishi menandatangani Anpo, disaksikan oleh Presiden Amerika, Dwight Eisenhower.
Sumber – FB Ayman Rashdan Wong