‘Ditendang’ daripada PBM, Zuraida bakal akhiri kerjaya politik dalam keadaan hina
Zuraida Kamaruddin dijangka bakal mengakhiri karier politiknya dalam penuh kehinaan selepas dipecat daripada Parti Bangsa Malaysia semalam, di tengah-tengah kemelut kepimpinan dengan presiden pengasas partu tersebut, Larry Sng.
Sementara itu, timbalan presiden PBM Haniza Talha dan ketua wanita Daroyah Alwi telah dilucutkan jawatan tetapi kekal sebagai ahli parti.
Memetik Malaysiakini, pemecatan itu berlaku selepas Zuraida dan sekutunya tidak menjawab surat tunjuk sebab yang dikeluarkan kepada mereka pada 19 Dis.
Kenyataan unit penerangan PBM berkata jawatankuasa disiplin parti itu memutuskan untuk menamatkan keahlian mereka berkuat kuasa serta-merta.
Ketika dihubungi, Sng berkata Haniza dan Daroyah terhindar daripada pemecatan kerana PBM tidak mahu menggalakkan lompat parti.
“Mereka Adun (Selangor) yang dipilih. Dengan undang-undang antilompat yang diluluskan di Selangor, kita tidak mahu dilihat menggalakkan mereka melompat ke parti lain,” katanya kepada Malaysiakini.
Undang-undang antilompat parti Selangor mengikut versi persekutuan, yang memperuntukkan seorang wakil rakyat kehilangan kerusi mereka jika mereka meletak jawatan atau bertukar parti.
Bagaimanapun, mereka akan terhindar daripada peruntukan hukuman itu jika mereka dipecat daripada parti.
Antara yang dipecat ialah setiausaha agung PBM Nor Hizwan Ahmad (gambar, atas), ketua penerangan Zakaria Abdul Hamid, tiga naib presidennya dan ketua pemuda parti Na’im Brundage.
Perhimpunan Agung Tahunan PBM pada awal Oktober telah memutuskan bahawa Zuraida – yang dianggap bakal presiden parti – secara rasmi akan mengambil alih kepimpinan parti daripada Sng.
Langkah itu kemudiannya diluluskan oleh mesyuarat majlis tertinggi PBM.
Bagaimanapun, Sng menyekat peralihan kuasa itu, berkata dia masih presiden parti menurut Pendaftar Pertubuhan.
Dia kemudian mengisytiharkan mesyuarat majlis tertinggi PBM yang meluluskan peralihan jawatan presiden kepada Zuraida tidak sah dan menggantung jawatannya sebagai pengganti dan 12 anggota parti lain.
Pun begitu, pertikaian mereka diketepikan sementara pilihan raya umum ke-15 berlangsung yang menyaksikan Sng sebagai calon PBM menang kerusi parlimen Julai.
Dalam pada itu, Zuraida dan sekutunya timbalan presiden PBM Haniza Talha (gambar, bawah) kalah PRU15 dengan hilang wang pertaruhan.
Pertikaian itu timbul semula pada hujung minggu lalu dengan Zuraida dan Haniza menuduh Sng menyalahgunakan kuasanya.