Dos penggalak untuk MP, netizen bertanya perkembangan 4 MP yang belum divaksin

Dos penggalak untuk MP, netizen bertanya perkembangan 4 MP yang belum divaksin

Ahli Parlimen yang lengkap menerima dua dos vaksin akan diberikan suntikan dos penggalak Covid-19 bermula esok, kata Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Mohd Rashid Hasnon.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) akan memberikan dos itu bermula pukul 9.30 pagi di Dewan Bankuet di bangunan Parlimen, seperti dilaporkan portal akhbar FMT.

“KKM sudah memulakan pemberian dos penggalak di seluruh negara bermula 13 Okt lalu kepada individu yang mendapat dos lengkap vaksin bagi memastikan imuniti diterima selepas dos lengkap dapat dikekalkan untuk tempoh optimum, khususnya terhadap jangkitan varian Delta.

“KKM akan memberikan dos penggalak bermula esok dan tarikh seterusnya akan ditetapkan kelak,” katanya ketika menyampaikan pemakluman Yang Dipertua Dewan Rakyat selepas selesai sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.