Dua pemuda jadi jutawan segera gara-gara jual udara segar dalam botol, raih untung lebih RM1 juta setahun

Dua pemuda jadi jutawan segera gara-gara jual udara segar dalam botol, raih untung lebih RM1 juta setahun

 

Siapa sangka, dua orang pemuda bergelar jutawan sekelip mata selepas berjaya raih untung dengan hanya menjual udara segar di dalam botol.

Dijual secara atas talian, udara segar di dalam botol itu boleh didapati dengan pelbagai ‘perisa’ seperti strawberi, anggur dan juga rut bir.

Bermula dengan jenaka antara dua orang sahabat, mereka mulanya hanya ‘main-main’ dan menjual udara segar di dalam plastik ‘ziplock’ secara online.

Tanpa mereka jangkakan, rupa-rupanya produk yang ditawarkan dengan harga 99 sen menerusi platform atas talian, eBay itu berjaya dijual.

Menyedari bahawa udara segar rupanya mempunyai nilai kebolehpasaran, dua lelaki itu mula serius dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) produk.

Oleh kerana penghantaran produk dilakukan secara pos, mereka mendapat idea untuk memasukkan udara segar tersebut ke dalam botol kanister.

Hal ini bagi memastikan udara segar tersebut tidak terjejas dari segi kualiti dan juga mampu bertahan lama untuk kegunaan pelanggan.

Selain botol kanister aluminium yang berisi udara segar, pembeli bakal dibekalkan dengan alat penafasan iaitu corong mulut plastik.

Kini, perniagaan milik dua orang pemuda yang berasal dari Kanada itu sudah berjaya mengaut keuntungan mencecah $300,000 (RM1,270,050) setahun.

Udara segar yang dijual dengan harga $32 atau RM145.41 sebotol itu diperolehi dari lokasi terpencil yang terletak di Banff, Alberta, Kanada.

Produk keluaran Moses Lam dan Troy Paquette itu sudah berjaya menembusi pasaran antabangsa seperti China, India, Korea, Vietnam dan juga Dubai.

“CEO syarikat besar di China telah membeli produk kami untuk menghirup udara yang bersih agar mereka dapat bekerja dengan lebih keras dan lama.

“Syarikat bakal mengeluarkan oksigen berperisa mangga untuk pasaran Asia.

“Kami mahu memastikan udara segar dari Kanada tersedia 24 jam, tidak kira di mana anda berada.” Kata pengasasnya, Lam memetik CBC.