Dulu kerja basuh pinggan, kini wanita ini buka akademi mengajar buat kek dan pastri
Pada 2007, Cik Suriani Abdul Samad, 52, memutuskan untuk berhenti bekerja secara sepenuh masa untuk memberi tumpuan kepada anak-anaknya.
Beliau mula berjinak-jinak berniaga secara kecil-kecilan dari rumah untuk menambah pendapatan keluarga.
Cik Suriani bermula dengan menjual pada musim-musim perayaan namun memutuskan untuk berniaga sepenuh masa dek permintaan yang semakin meningkat.
“Selama lapan tahun, saya giat menjual tanpa henti dalam dan saya merasa penat berniaga kerana saya berniaga secara hari-hari. Jadi selepas 8 tahun itu saya pun beritahu suami saya bahawa saya sudah penat, saya rasa saya mahu membawa perniagaan ini ke tahap seterusnya, ” kongsi Cik Suriani kepada wartawan Nur Syafeera Sofian.
Setelah melihat permintaan yang meningkat, beliau pun mula berniaga sepenuh masa selama 8 tahun.
Beliau pula mencari mentor untuk mempelajari membuat lebih banyak jenis kek, pastri dan roti supaya dapat membuka kelas membuat kuih dan mendapatkan sijil diploma.
Pada mulanya, beliau mengadakan demonstrasi kecil secara peribadi dan kemudiannya secara kumpulan.
Perniagaan tersebut berkembang sehingga beliau dapat melancarkan SistersCookies Baking Academy di Toh Avenue.
Ruang menempatkan sebuah kedai dan sebuah dapur pusat di mana kelas-kelas membuat kek dan kuih diadakan.
Kelas-kelas tersebut menarik peserta daripada pelbagai bangsa dari dalam dan luar negara.
“Kebanyakan resipi kami tidak memerlukan kemahiran asas. Yang langsung tidak pernah membuat kuih, mereka sekurang-kurangnya ada sedikit keyakinan mencubanya di rumah,” kata Cik Suriani.
Namun, seperti banyak perniagaan lain, Sisterscookies juga terjejas dengan pandemik COVID-19 sehingga terpaksa menutup kedai dan memindahkan operasi ke rumah.
“Bila ada kedai itu seronok kerana ada tempat yang khas untuk membuat kuih. Akhirnya, rumah kami jadi seperti hotel – untuk tidur dan membasuh baju sahaja. Kebanyakan masa kami dihabiskan di kedai dan kita harus membayar perbelanjaan kedua-dua. Oleh itu, kami rasa bahawa ia lebih mudah untuk beroperasi di bawah satu bumbung. Lebih mudah dan murah,” kongsi Cik Suriani.
Anak Cik Suriani, Siti Raudhah, 25 tahun, kini mengambil alih tugas sebagai jurulatih.
Beliau berkongsi bahawa beliau membantu ibunya sejak remaja lagi tetapi sebagai pembasuh pinggan.
“Apabila saya harus membasuh pinggan pada usia 12 tahun, pastinya ia bukan sesuatu yang saya hendak lakukan. Namun, apabila saya lihat lebih ramai yang hadir ke kelas-kelas tersebut, ia membuka mata saya, ” kongsi Cik Raudhah.
Setelah tamat peperiksaan GCE ‘N’ level, beliau ke Pusat Pendidikan Hotel dan Pelancongan Singapura (SHATEC) dan kemudian ke Perancis untuk mempelajari lebih mendalam tentang memasak, membuat kek dan pastri
Secara perlahan-lahan, beliau mengambil alih sepenuhnya tugas sebagai jurulatih SistersCookies manakala Cik Suriani memberi tumpuan kepada perniagaan dan kemajuan pelajar-pelajarnya.
“Tidak mudah bagi seseorang yang berusia 20 tahun untuk mengajar mereka yang berumur 40 atau 50 tahun. Mereka menjadi ragu-ragu. Perbezaan umur memang satu ketika mengajar. Tetapi alhamdulillah, kini dia lebih yakin.” kata Cik Suriani.
Sisterscookies mengadakan kelas-kelas mengajar pelbagai jenis makanan atau kuih yang mereka menjual seperti kek Tapak Kuda, Kek Marble, biskut-biskut perayaan dan banyak lagi.
Antara kelas yang popular adalah kelas membuat kek Tapak Kuda.
“Seperti ‘Swiss Roll’ ataupun ‘Mooncake’, kami semua mengenali apa itu ‘Mooncake’. Namun, untuk kek tapak kuda, ia belum mencapai kemuncaknya. Jadi, itulah matlamat saya, ” ujar Cik Raudhah.