Edar ganja dalam cecair vape, pelakon drama & tiga rakan berdepan hukuman mati

Edar ganja dalam cecair vape, pelakon drama & tiga rakan berdepan hukuman mati

 

Pelakon drama, Said Muhammad Ismail Said Pakir, 29, bersama tiga lagi rakan berdepan hukuman mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Januari lalu.

Difahamkan, mereka berdepan hukuman mati atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis atau ganja di sebuah kedai rokok elektronik (vape).

Memetik laporan Astro Awani, selain Saif yang juga pemilik kedai rokok elektronik (vape), mereka ini adalah dua pekerjanya, HS Sarvinder Singh, 23, dan Delson Dean Samson Akmal, 26, dan seorang peniaga burger, Muhammad Amir Hafiz Zamani, 30

31 Mac tarikh sebutan semula kes

Ketika prosiding sebutan kes di hadapan Majistret Wong Chai Sia, hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Sareeka Balakrishnan memberitahu tiada laporan kimia bagi kes berkenaan diterima. Susulan itu, pihak mahkamah menetapkan tarikh 31 Mac ini sebagai sebutan semula kes.

Dalam kes ini, tertuduh pertama Sarvinder Singh diwakili peguam, S Shastidaran manakala tiga tertuduh lain oleh peguam, Mohamed Ashmeer Ashrof.

Pada 10 Januari lalu, mereka juga didakwa dengan niat bersama mengedar dadah berbahaya jenis kanabis dengan anggaran berat 494 gram, di sebuah premis di Taman Oug Parklane Off Jalan Klang Lama di sini, pada jam 9.45 malam, 3 Januari lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39b(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama dan di baca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika disabitkan, hendaklah dijatuhi hukuman mati atau tidak kurang sembilan sebatan dan penjara seumur hidup.

Pada 4 Januari lalu, media melaporkan kegiatan sindiket jual ganja dalam bentuk cecair rokok elektronik atau ‘vape’ terbongkar selepas empat daripada ahlinya ditahan dalam serbuan di sebuah premis di Jalan Klang Lama.

Malah, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor mengatakan serbuan yang dilakukan pada jam 9.45 malam itu berjaya menemukan dadah jenis ganja seberat 494 gram (g) dan cecair ganja sebanyak 3,496 milliliter (ml).