Eksklusif!!! Detik-detik akhir usaha menyelamatkan kerajaan PH, menurut Liew Chin Tong
Presiden PKR Anwar Ibrahim terpaksa dipujuk untuk “lawan di lain hari” selepas marah dengan rundingan berkompromi dalam kalangan Pakatan Harapan (PH) untuk meletakkan semula Kabinet asal kerajaan diketuai Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri dan isterinya Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalan, dedah buku terbaru pemimpin DAP.
Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong turut berkata Anwar Ibrahim mendakwa memiliki angka majoriti untuk menjadi perdana menteri susulan kekosongan dalam kerajaan apabila Mahathir meletakkan jawatan pada Februari 2020.
Liew turut mengenang mesyuarat Majlis Presiden PH yang dihadiri pemimpin PKR, DAP dan Amanah, sehari selepas Mahathir meletakkan jawatan pada 24 Februari, 2020 yang menyebabkan gabungan itu tumbang.
“Anwar beritahu majlis presiden dia ada peluang tinggi untuk mendapat undi GPS Sarawak dalam rundingan beliau bersama mereka. Lagi pula, dia turut mendakwa kenalan-kenalannya dari Istana Negara turut memberitahunya yang Istana akan menerima kerajaan minoriti,” kata Liew, yang merupakan timbalan menteri pertahanan ketika PH menjadi kerajaan.
Beliau berkata demikian dalam buku terbarunya mengenai veteran DAP Lim Kit Siang, “Lim Kit Siang: Patriot, Leader, Fighter”.
“Mahathir tidak berminat untuk menjadi perdana menteri PH lagi, DAP dan Amanah pula perlu menyokong Anwar sebagai perdana menteri di Istana pada 26 Februari,” tambahnya.
Katanya, Mahathir tidak menghadiri mesyuarat walaupun diundang oleh DAP.
Dalam buku terbaru itu, Liew mengenang beberapa hari sebelum Muhyiddin Yassin dilantik sebagai perdana menteri susulan ahli-ahli Parlimen mengadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bagi menentukan pengganti jawatan nombor satu negara selepas ia dikosongkan Mahathir.
Peletakan jawatan itu berlaku selepas langkah Bersatu memutuskan kerjasama dengan PH, seterusnya disertai beberapa ahli Parlimen PKR diketuai Mohamed Azmin Ali bagi membentuk kerajaan baru di luar gabungan politik PH, satu langkah politik yang dikenali sebagai “Langkah Sheraton” selepas mengadakan beberapa mesyuarat bersama ahli Parlimen daripada parti lain di hotel tersebut.
Langkah itu juga diambil selepas mesyuarat antara pimpinan tertinggi PH untuk berbincang mengenai tarikh untuk Anwar mengambil alih kerajaan daripada Mahathir selepas tekanan daripada kumpulan pro-Anwar dalam PKR termasuk mereka yang berada dalam Kabinet.
PH menamakan Anwar sebagai orang yang akan mengambil alih pentadbiran pada pertengahan penggal kerajaan diketuai Mahathir, namun tidak ada tarikh yang jelas berhubung peralihan tersebut.
Mahathir menegaskan hanya akan meletak jawatan selepas sidang kemuncak Asia Pacific Economic Cooperation (APEC) 2020.
Susulan peletakan jawatan Mahathir dan tumbangnya kerajaan PH, Liew berkata wujud beberapa usaha daripada pemimpin DAP untuk menyatukan Anwar dan Mahathir demi menghidupkan semula gabungan politik yang mulai kucar-kacir itu.
Beliau berkata pemimpin PH termasuk Anwar berhimpun di rumah Mahathir bagi membincangkan jalan keluar bagi masalah yang melanda gabungan itu, beberapa orang tengah turut bersama dalam rundingan kedua-dua tokoh politik tersebut.
“Mahathir duduk di ruang makan sementara Anwar dan yang lain di ruang tamu. Anak perempuan Mahathir Marina, Syed Saddiq dan Anthony Loke beberapa kali keluar masuk antara kedua-dua ruang tersebut,” tulisnya.
Liew berkata usaha itu gagal kerana Anwar kecewa dengan cadangan untuk mengekalkan Kabinet yang sama dengan isterinya sebagai timbalan perdana menteri.
“Anwar, bagaimanapun, meluru keluar dari rumah Mahathir selepas kira-kira tiga jam rundingan, kebanyakannya melalui orang tengah, selepas 20 minit dua lelaki itu bertikam lidah.”
Liew berkata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng juga sudah rela melepaskan jawatannya sebagai menteri kewangan untuk Anwar, namun tawaran tersebut ditolak.
Ketika jam mulai mendekati pengumuman Istana mengenai siapakah yang memiliki sokongan sebagai perdana menteri, pemimpin PH masih berusaha keras untuk memujuk Anwar supaya berkompromi.
Liew berkata disebabkan Anwar memiliki rasa hormat terhadap Kit Siang, beberapa orang daripada mereka pergi ke rumah veteran DAP itu di Petaling Jaya dan mengejutkan beliau dari tidur dan membawanya bertemu Anwar.
“Kit Siang berkata ‘mari lawan lagi!’, Anwar beralah dan bersetuju dengan cadangan kerajaan Mahathir-Azizah sebagai jalan keluar,” kata Liew.
Namun, akhirnya pihak Istana mengumumkan Muhyiddin memiliki angka majoriti untuk menjadi kerajaan baru.
Kerajaan Perikatan Nasional kemudian ditubuhkan dengan sokongan Umno, GPS dan ahli Parlimen PAS, menamatkan 22 bulan pentadbiran PH. – MN