Engku Emran titip ucapan penghargaan buat 3 bekas isteri, “Saya tak rancang kahwini mereka tapi Allah temukan..”
Suami kepada usahawan, Noor Nabila iaitu Engku Emran mengakui pernah terdetik di fikiran kenapa Allah SWT menjodohkan dirinya dengan tiga wanita luar biasa.
Bukan dirancang
Menerusi hantaran di Instagram (IG), Emran berkata dia tidak pernah keluar mencari atau terlintas untuk berkahwin dengan Erra Fazira, Laudya Cynthia Bella dan Nabila pada awalnya.
Saya selalu bertanya kepada Allah, kenapa Dia menemukan saya dengan tiga orang-orang hebat yang pernah menjadi menantu Mummy.
Saya tak pernah keluar mencari mereka atau merancang untuk mengahwini mereka, namun mereka hadir ke dalam hidup saya dalam proses kerja dan jatuh cinta.
Bagaimanapun, ahli perniagaan berumur 48 tahun ini menyifatkan perkahwinan dengan wanita-wanita hebat itu sebagai susunan kehidupan yang sudah tertulis.
Seorang daripada mereka (Erra) berikan seorang cahaya mata. Seorang lagi (Bella) perkenalkan saya kepada orang-orang hebat di Indonesia dan menunaikan haji bersama saya.
Dan seorang lagi (Nabila), menjadikan saya anak yang lebih baik untuk Mummy. Jadi, itu semua takdir pertemuan kami.
Saya okey
Dalam pada itu, pemilik nama Engku Emran Engku Zainal Abidin berkata dia menerima kiriman mesej daripada ahli keluarga dan kenalan rapat yang risau dengan situasi dirinya yang sedang hangat di media sosial.
Saya terima banyak mesej daripada orang luar, kawan-kawan, rakan sekerja dan keluarga yang bertanyakan sama ada saya okey.
Saya tahu anda semua risaukan keadaan saya mengenai ‘sampah-sampah’ yang bertebaran di alam siber. Saya tahu, ia kadang kala tak dapat dielakkan kerana cerita-cerita ini muncul tanpa anda cari.
Apapun, saya ingin maklumkan bahawa saya okay dan begitu juga Aleesya.
Sekadar info, Nabila dan Engku Emran mendirikan rumah tangga pada 19 Mac tahun lalu.
Sebelum itu, Nabila pernah mendirikan rumah tangga dengan aktor, Sharnaaz Ahmad pada 31 Mac 2017 dan bercerai secara hakam pada 9 Julai 2020 di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan.
Menerusi perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Jebat Jayden yang kini berusia lima tahun.
Manakala, Emran pernah berkahwin dengan selebriti jelita iaitu Erra Fazira dan mempunyai seorang anak perempuan, Engku Aleesya. Dia juga pernah berkahwin dengan aktres popular Indonesia, Laudya Cynthia Bella, namun mereka tidak dikurniakan cahaya mata.