Fahmi Fadzil kata artis bermasalah seperti Aliff Aziz dan Ruhainies disaran jalani pemulihan, tidak digam 

Fahmi Fadzil kata artis bermasalah seperti Aliff Aziz dan Ruhainies disaran jalani pemulihan, tidak digam 

 

Kerajaan tidak berhasrat untuk menggam mana-mana artis yang menimbulkan masalah dan kontroversi di saluran televisyen.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, sebaliknya antara penyelesaian lebih ‘lunak’ dicadangkan terhadap artis yang mempunyai kontroversi itu ialah meminta mereka menjalani program rehabilitasi atau pemulihan.

“Saya sudah cakap dengan Ketua Pengarah Penyiaran (Datuk Suhaimi Sulaiman)… realitinya artis sekarang berbeza dgn era 80-an, waktu itu ada beberapa saluran sahaja, kalau ditutup itu, mereka tidak dapat masuk ruang berkenaan.

“Hari ini jauh berbeza, ada akaun media sosial dan banyak saluran… kita tidak boleh blanket banned (gam secara meluas) sebab membabitkan swasta dan lain-lain.

Apa yang ketua pengarah cadang adalah sekiranya mana-mana artis mempunyai isu, kita lakukan contoh teladan yang baik dengan memulihkan mereka,” katanya kepada pemberita.

Fahmi berkata demikian ketika ditanya mengenai gesaan warganet di laman sosial yang mahu kerajaan mengharamkan penyanyi dan pelakon, Aliff Aziz dan Ruhainies keluar di saluran televisyen selepas terpalit dengan kontroversi apabila didakwa menjalinkan hubungan.

Pada masa sama, Fahmi berkata, pertemuan mungkin boleh dibuat sama ada dengan pengurus artis atau produser program dalam memastikan artis bermasalah terbabit dapat menjalani rehabilitasi.

Beliau berkata, kaedah rehabilitasi ini turut dilaksanakan di negara luar membabitkan artis bermasalah.

“Kita nampak cara lebih baik adalah rehabilitasi, dan kita harap artis itu mengakui kekhilafan, kekurangan serta berusaha menjadi diri lebih baik.

“Ini cara yang sedang dipertimbangkan namun saya serahkan kepada ketua pengarah penyiaran untuk melakukannya,” katanya.