Faisal Halim digantung 4 bulan aksi Liga Super

Faisal Halim digantung 4 bulan aksi Liga Super

 

Pemain sayap pasukan Selangor FC Muhammad Faisal Abdul Halim dilaporkan telah menerima pergantungan selama empat bulan berikutan kenyataan media yang dibuat olehnya selepas perlawanan menentang Sabah FC pada 27 April lalu.

Dalam satu kenyataan, Selangor FC berkata pemain berusia 25 tahun itu akan digantung beraksi selama empat bulan berkuat kuasa 25 Julai.

Difahamkan, Faisal Halim dan juga wakil kelab telah hadir bertemu Jawatankuasa Tatatertib bagi sesi perbicaraan berhubung perkara tersebut pada semalam.

Kredit: Selangor FC/Facebook

“Pada hari ini, Selangor FC telah dimaklumkan mengenai keputusan Jawatankuasa Tatatertib.

“Pemain dikenakan pergantungan selama sebulan dahulu bermula 25 Julai hingga 28 Ogos.

“Baki tiga bulan adalah ditangguhkan tertakluk kepada kelakuan baik pemain selama 12 bulan dari tarikh 24 Ogos 2023 sehingga 24 Ogos 2024.

“Oleh itu, beliau tidak boleh disenaraikan untuk perlawanan menentang Johor Darul Ta’zim FC, Kuala Lumpur City Fc, Negeri Sembilan FC dan kedua-dua perlawanan Piala Malaysia menentang PDRM FC,” kata kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu.

Faisal Halim luah rasa kecewa selepas pasukan tewas

Imbas kembali pada April lalu, Faisal Halim atau lebih dikenali Mickey meluahkan kekecewaannya ketika ditemubual oleh media selepas pasukannya tewas 1-2 kepada Sabah FC dalam aksi Liga Super.

Menurutnya, dia kecewa dengan cara pasukannya kalah dan menganggap perlawanan itu tidak adil.

“Kami bekerja keras, kita berusaha. Saya terima kekalahan ini, tetapi bukan bermakna kami tidak bagus. Selangor sudah cuba yang terbaik, namun saya kecewa dengan cara kami kalah.

“Semua orang dah tahu setiap tahun perkara sama yang berulang. Saya sebagai pemain, kalau saya cakap ‘direct’, saya tidak ada duit untuk bayar denda atau sebagainya. Tetapi, saya merayu dan berharap perkara ini tidak berlaku lagi,

“Kalau perlawanan yang adil kami kalah 5-0, 10-0 tak apa kami terima. Tetapi, cara begini, kami sangat kecewa dan kami tak boleh terima,” katanya memetik Sinar Harian.