Gagal bayar hutang, Mawar Karim bakal diisytihar bankrap

Gagal bayar hutang, Mawar Karim bakal diisytihar bankrap

USAHAWAN selebriti, Mawar Karim bakal berdepan tindakan pengisytiharan muflis sekiranya gagal melunaskan hutang yang dipinjam olehnya daripada seorang sahabat.

Berdasarkan laporan Mstar, wanita berusia 33 tahun itu dikatakan membuat pinjaman daripada seorang kenalannya, Nabil Mat Yahya sebagai modal memulakan perniagaannya.

Peguam Nabil, Nik Zarith berkata, bekas isteri Fizo Omar itu dilihat gagal melunaskan hutang tersebut secara ansuran dalam tempoh tujuh bulan, bermula tarikh pinjaman iaitu 7 Jun 2021 seperti yang terkandung dalam perjanjian.

Difahamkan, Mawar meminjam wang sebanyak RM 720,000 daripada Nabil.

Menurut Nik Zarith, pihaknya telah menghantar notis tuntutan bayaran selepas 10 bulan kepada Mawar, namun ibu kepada seorang anak itu dikatakan gagal membuat pembayaran kepada anak guamannya.

Pada masa yang sama, pihaknya telah memfailkan tuntutan saman di Mahkamah Seksyen Bangi, Selangor pada Januari lalu dan pihak mahkamah telah pun mengeluarkan penghakiman ingkar hadir kepada Mawar, namun tiada sebarang jawapan diterima.

“Dia boleh menjawab secara terus atau lantikan peguam memandangkan ia sudah menjadi kes mahkamah,” katanya.

Nik Zarith menjelaskan, Mawar perlu melunaskan semula hutang yang dipinjam sebelum pihaknya bertindak melakukan proses garnisan iaitu tuntutan pembayaran semula dari akaun bank usahawan itu sendiri.

“Jika jumlah masih tak mencukupi, permohonan untuk pengisytiharan bankrap boleh dilakukan atau harta milik Mawar bakal dilelong,” katanya.

Setakat ini, Mawar atau pihaknya belum memberi sebarang kenyataan berhubung perkara ini.