Gagal pakai pelitup muka di tempat awam, dua EXCO Terengganu terlepas dari tindakan polis
Kisah antara dua darjat dalam kehidupan masyarakat sememangnya lumrah berlaku di negara kita sedari dahulu lagi. Mana-mana pihak yang sedang berkuasa pastinya mendapat perlindungan daripada tindakan undang-undang yang dicipta mereka sendiri.
Begitulah kisahnya yang berlaku di Terengganu baru-baru ini. Seorang pemimpin Amanah mempertikai dwistandard dalam pelaksanaan SOP Covid-19 selepas seorang warga emas didenda RM1,500 kerana tidak memakai pelitup muka dengan sempurna.
Pengerusi Amanah Terengganu Raja Kamarul Bahrin Shah berkata, perkara itu jelas kelihatan lebih-lebih lagi memandangkan dua pemimpin negeri tidak dikenakan tindakan kerana kesalahan sama.
Dalam kenyataan hari ini, beliau memetik kejadian yang berlaku kepada “Pak Din”, seorang warga emas yang baru-baru ini membuat perjalanan dari Dungun ke Kuala Terengganu untuk mengambil bahagian dalam “flash mob” bertujuan mengetengahkan isu kenaikan harga barang keperluan, seperti dilaporkan portal FMT.
Raja Kamarul berkata, Pak Din dipanggil polis yang memaklumkan beliau dilihat dalam gambar tidak memakai pelitup muka dengan sempurna ketika menghadiri “flash mob” itu.
“Jika tindakan diambil terhadap Pak Din kerana tidak memakai pelitup muka dengan sempurna, bagaimana dengan Exco Terengganu yang langsung tidak memakainya di tempat awam?” soal beliau.
Pak Din (tengah) dilihat tidak memakai pelitup muka dengan sempurna, manakala gambar di media sosial menunjukkan Exco Terengganu Tengku Hassan Tengku Omar (kiri) serta Azman Ibrahim langsung tidak memakai pelitup muka di tempat awam.
“Ia dilihat di portal media sosial dan tiada tindakan diambil oleh kerajaan Terengganu. Adakah wujud dua set undang-undang bagi kesalahan sama dengan tindakan tegas terhadap satu pihak manakala satu lagi terlepas?”
Dalam kenyataan itu, Raja Kamarul turut menyertakan gambar Pak Din memakai pelitup muka di dagunya selain tangkap layar dua Exco, Tengku Hassan Tengku Omar dan Azman Ibrahim, yang tidak berpelitup muka di tempat awam.
Hassan mengetuai Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran, manakala Azman adalah Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Terengganu.