Gaji pengerusi FGV, Kadir Jasin dedah fakta sebenar yang disembunyikan Idris
Idris Kata Kita Keliru
1. Kalau ikut kefahaman Pengerusi Felda, Idris Jusoh, semua kita yang berbahas mengenai kenaikan besar upah Ahli Lembaga Pengarah FGV Holdings Berhad semalam adalah orang yang keliru dan salah faham.
2. Kata dia: “Saya mohon maaf diatas (sic) kekeliruan yang berlaku sejak semalam tentang FGV. Izinkan saya utk memberi penjelasan. Ada juga yang salah faham mengatakan ini adalah merupakan kenaikan elaun Pengerusi FELDA. Ini juga berlaku kerana kurang pengamatan setengah2 dari kita.”
3. Dia kata lagi, “FGV adalah sebuah syarikat Senaraian Awam (public listed company) yang mana FELDA adalah pemegang saham terbesar. Keuntungan FGV akan memberi faedah kpd FELDA dan peneroka.”
4. Saya nak bagi tahu Idris pula, oleh sebab kita tahu Felda adalah pemegang saham utama FGV lah kita sangat ambil berat apa yang berlaku di FGV semalam. Ada ka kita heboh bila syarikat senaraian awam milik tauke Cina atau India naikkan upah ahli lembaga pengarah mereka?
5. Pasal kita tahu lebih 80 peratus saham FGV milik Feldalah kita heboh. Bukan itu saja. Kita pun tahu yang FGV ini lahir dan bergantung hayat kepada Felda. Kalau tidak ada Felda tidak adalah FGV. Masa harga minyak kelapa sawit tengah teruk pada tahun 2018 pun, perladangan menyumbangkan 76 peratus daripada keseluruhan pendapatan FGV. Tahun itu FGV rugi RM1.2 bilion. Adakah masa itu fi ahli lembaga pengarah dan gaji pengurusan kanan dipotong?
6. Bukan nak perlekeh lembaga pengarah dan pengurusan kanan FGV yang baru dapat durian runtuh tu. Tapi jelaslah daripada perangkaan bahawa untung luar biasa FGV tahun lepas adalah kerana harga minyak kelapa sawit naik.
7. Idris kata lagi, “Untuk menjadi syarikat yang cemerlang, FGV perlu kpd Ahli Lembaga Pengarah (BOD) yang juga cemerlang. Tanda aras FGV juga perlu selaras dengan ‘industry benchmarking’.”
8. Kalau nak kira betul-betul, FGV ni ladang pun tak ada. Semua pajak daripada Felda dan peneroka. IOI Plantation yang ada tanah sendiri pun bayar Pengerusi RM275, 000 saja setahun. Kemudian United Plantations Bhd (UP) yang juga ada tanah sendiri, elaun pengerusinya RM165, 000 saja pada tahun 2020. UP tak ada hutang tapi FGV hutang RM4.5 bilion. Pengerusi FGV dapat elaun RM480,000 setahun.
9. Idris kata, FGV dapat keuntungan luar biasa lebih RM1.18 bilion lepas cukai. Lagi pun, dia kata, FGV dah lama tak ubah elaun pengarah. Boleh jadi Idris tak baca kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Mohd Nazrul Izam Mansor, sendiri. Mohd Nazrul Izam kata, prestasi FGV naik pasal perang Rusia-Ukraine menolak naik harga komoditi.
10. Cuba Idris bagi tahu dengan ikhlas, sejak Felda “dipaksa” serah aset kepada FGV lebih 10 tahun lalu, berapa banyak dividen yang FGV dah bayar kepada Felda dan berapa banyak kerugian sebenar dan atas kertas akibat harga saham FGV jatuh merudum daripada harga IPO RM4.55 kepada RM1.56 sesaham semalam?
11. Kalau nak tegakkan benang kering yang berserabut ditiup angin kencang pun, biarlah “cerdik” sikit. Majoriti peneroka asal Felda mungkin teruja dengan jawapan pengerusi mereka. Tapi banyak anak peneroka yang dah jadi orang korporat, manager bank dan macam-macam perniagaan lagi. Mereka tahu beza fakta dan auta.
12. Oh, dekat-dekat nak lupa. Apa dah jadi dengan angan-angan Idris nak jadikan Felda kompani “Fortune 500” dan pelaburan Felda dalam Eagle High milik Peter Sondakh yang dah susut nilai dekat RM2 bilion?
13. Felda dan FGV bukan macam syarikat penyenaraian awam milik tauke Cina, India atau orang putih. Mereka pun tidak buat sesuka hati. Inikan pula Felda dan FGV yang merupakan syarikat amanah rakyat jelata. Jadi Idris janganlah mudah sangat kata kita ni keliru dan salah faham.
Terima kasih.
Sumber – FB A. Kadir Jasin