Ganggu sesi penggulungan PM, mengamuk tak tentu pasal, ahli parlimen PN diarah keluar dewan

Ganggu sesi penggulungan PM, mengamuk tak tentu pasal, ahli parlimen PN diarah keluar dewan

 

Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin diarah keluar Dewan selepas mengganggu sesi penggulungan perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat, hari ini.

Arahan itu dikeluarkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul selepas Radzi enggan mendengar arahan supaya duduk dan memberi peluang Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meneruskan sesi penggulungannya tanpa diganggu.

Rentetan arahan itu, beberapa Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang dikatakan tidak berpuas hati dengan keputusan terbabit, bertindak keluar dari Dewan Rakyat.

Sementara itu, pada sidang media Ahli Parlimen pembangkang, Hamzah berkata, tindakan keluar Dewan Rakyat adalah bagi menunjukkan protes kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Katanya, keputusan dibuat Johari itu adalah sesuatu yang tidak adil kepada Ahli Parlimen Putrajaya.

“Dalam perbahasan tadi, Yang Berhormat (YB) Tambun ada menimbulkan bahawa beliau menuduh Putrajaya melakukan sesuatu yang tidak baik.

“Apabila saya minta dia tarik balik, dia pusing dengan menyatakan Putrajaya itu bukan bermaksud Ahli Parlimen tetapi bermaksud pentadbiran Putrajaya,” katanya.

Beliau berkata, tindakan Ahli Parlimen pembangkang keluar dari Dewan Rakyat dibuat untuk membuktikan apa yang dilakukan Johari adalah tidak adil kepada Ahli Parlimen.

“Sepatutnya Yang Dipertua melakukan sesuatu dan bukannya menjadi seorang peguam,” katanya.