Gara-gara pertahan adik yang dirogol, hidup abang berakhir di tali gantung
Seorang penganggur dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Tawau selepas didapati bersalah atas tuduhan membunuh abang iparnya empat tahun lalu.
Hakim Alwi Abdul Wahab menjatuhkan hukuman itu terhadap Aldin Tawasil, 26, selepas pihak pembelaan gagal mengemukakan keraguan munasabah sepanjang prosiding.
Alwi dalam penghakimannya berkata, tertuduh dalam keterangannya memaklumkan menikam mangsa kerana berang selepas mengetahui adik perempuannya dirogol mangsa.
Tertuduh yang berpakaian serba putih kelihatan tenang ketika hukuman itu dijatuhkan.
“Walaupun dalam keterangan tertuduh yang mengemukakan bukti tindakannya untuk mempertahankan diri, namun tertuduh didapati tidak mengalami sebarang kecederaan berbanding si mati yang mempunyai 13 kesan tikaman.
“Malah, tertuduh juga mengejar dan menikam mangsa yang cuba lari menyelamatkan diri dan ini menunjukkan tertuduh mempunyai niat untuk membunuh.
“Mengambil kira keterangan menyeluruh dalam kes ini, mahkamah menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap tertuduh,” katanya dipetik Harian Metro.
Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammed Ali Imran, manakala tertuduh diwakili peguam Liew Hon Min.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang juga pendatang asing tanpa izin didakwa membunuh Ronston Tunai di Kampung Sabah Baru, Jalan Tengah Nipah, Lahad Datu, kira-kira 3 petang 16 Jun 2017.
Sementara itu, ibu dan ahli keluarga tertuduh yang menunggu di luar bilik bicara mahkamah tidak dapat menahan emosi, apabila permintaan mereka untuk memeluk dan mencium tertuduh buat kali terakhir tidak dibenarkan anggota polis bertugas.
Sumber – FMT