Gempar!!! Johor bakal jadi negeri pertama ditadbir Menteri Besar interim

Gempar!!! Johor bakal jadi negeri pertama ditadbir Menteri Besar interim

Johor berkemungkinan melantik Menteri Besar Interim seandainya UMNO negeri berpendirian untuk teguh senada dengan keputusan Majlis Tertinggi (MT) UMNO menarik sokongan terhadap Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Bekas Menteri Besar, Datuk Osman Sapian berkata, hal ini bakal terjadi ekoran ketidakstabilan politik di negeri ini setelah PN bukan lagi kuasa dominan untuk mentadbir negeri.

Katanya, untuk melakukan peralihan kuasa ketika negara berdepan dengan pandemik Covid-19, beliau berpandangan itu bukanlah perkara yang akan mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

“Johor ini unik, walaupun negeri mengikut telunjuk dan tindakan dibuat di peringkat Persekutuan, namun Sultan Johor mempunyai kata pemutus berdasarkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.

“Tuanku sebelum ini pernah bertitah bahawa baginda tidak akan bersetuju jika Johor terus bergolak, berlaku perebutan kuasa sehingga kerajaan negeri sering bertukar-tukar yang akhirnya menjejaskan rakyat yang terkesan pandemik selain memberikan kesan kepada ekonomi Johor.

“Oleh itu, saya berpandangan, Sultan Ibrahim mungkin menitahkan pelantikan Menteri Besar Interim bagi mengemudi kerajaan negeri sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti,” katanya ketika ditemui selepas menyerahkan bantuan bakul makanan kepada penduduk kawasan Kempas yang terkesan akibat pandemik, di sini hari ini.

Pada 23 Jun lalu, Sultan Johor menitahkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bersatu hati membantu rakyat negeri ini yang terjejas akibat wabak COVID-19.

Osman yang juga ADUN Kempas berkata, Sultan Ibrahim turut memberi amaran untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor sekali gus berlakunya Pilihan Raya Negeri (PRN) jika berlaku lagi perebutan kuasa dalam kalangan wakil rakyat di negeri ini.

“Penarikan sokongan UMNO terhadap PN Johor seperti keputusan MKT awal pagi tadi, akan berlaku ketidakstabilan politik negeri yang boleh membawa kepada pertukaran Menteri Besar buat kali keempat dalam tempoh satu penggal.

“Ini susulan kerajaan negeri yang diterajui Datuk Hasni Mohammad akan kehilangan majoriti sekali gus menyebabkan Pakatan Harapan (PH) Johor menjadi lebih dominan dengan 27 kerusi,” ujarnya.

Sementara itu, Osman yang juga Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Ayer Hitam berkata, Hasni yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Johor perlu menyatakan kedudukan dan pendirian mereka secepat mungkin.

“Ini penting supaya tindakan seterusnya boleh diambil sekaligus mengelakkan ketidakstabilan politik di Johor berpanjangan dan hanya menyebabkan rakyat di negeri ini kian tersepit disebabkan wabak Covid-19 masih menular,” ujarnya.

Sumber – UTUSAN ONLINE