Gempar!!! Menyesali kesilapan dewan ulamaknya menyerang Hamid Bador, Pas ambil langkah segera buat pusingan-u
1. Teguran atau sesetengahnya menganggap ia sebagai rungutan yang diluahkan oleh bekas Ketua Polis Negara (KPN) beberapa hari sebelum beliau bersara, perlu didengar secara terbuka oleh semua pihak. Sekiranya teguran itu demi kebaikan negara walaupun pedas, perlulah dipertimbangkan.
2. Sebenarnya kandungan teguran bekas KPN tersebut selari dengan apa yang diperjuangkan oleh PAS sepertimana yang termaktub dalam BPMS, WINS, Manifesto Malaysia Sejahtera dan Model Kerajaan Teknokrat. Boleh jadi ramai yang terlepas pandang dokumen-dokumen ini, justeru teguran bekas KPN tersebut seharusnya mengingatkan semua pihak terhadapnya.
3. Di dalam Model Kerajaan Teknokrat seperti yang digagaskan oleh Presiden PAS, penglibatan golongan profesional di dalam urusan kepakaran mereka perlu dititikberatkan. Di dalam Model Kerajaan Teknokrat, PAS mengusulkan supaya tadbir urus negara dilaksanakan secara profesional, demi mengelakkan berlakunya gejala politiking sekiranya dikelolakan sepenuhnya oleh ahli politik, yang sudah tentu mempunyai agenda politik kepartian.
4. Manakala di dalam Manifesto Malaysia Sejahtera pula yang dikemukakan oleh PAS bersama Gagasan Sejahtera (GAGASAN), teras pertama manifesto tersebut berkaitan dengan “Kerajaan Berintegriti dan Amanah”, jelas menyebut tentang usaha mengembalikan sistem pengasingan kuasa dengan memberikan kuasa sewajarnya kepada cabang Legislatif, Kehakiman dan Eksekutif.
5. Teguran bekas KPN ini saya lihat menekankan tentang profesionalisme dalam cabang eksekutif, mengelakkan berlaku politiking dalam tadbir urus, sistem pengasingan kuasa dan salahguna jentera kerajaan untuk tujuan politik kepartian. Meskipun pahit bagi kita menerimanya, tetapi ia selari dengan apa yang diperjuangkan PAS selama ini.
6. Bagaimanapun, saya melihat apa yang disuarakan oleh Bekas KPN itu memerlukan satu usaha yang mesti diterima secara sepakat oleh parti-parti dalam kerajaan dan pembangkang. Ia melibatkan pindaan Perlembagaan Persekutuan, Perkara 140, yang sememangnya memperuntukkan Menteri Dalam Negeri mengetuai Suruhanjaya Perkhidmatan Polis (SPP).
7. Saya meragui parti-parti dalam PH mempunyai kesungguhan politik untuk meminda Perkara 140, Perlembagaan Persekutuan, kerana sepanjang 22 bulan mereka memerintah, sedetikpun mereka tidak bercakap tentang keperluan meminda perkara tersebut. Jika mereka boleh meyakinkan pembangkang ketika itu untuk meminda Perlembagaan Persekutuan tentang had umur mengundi 18 tahun, mengapa berkaitan SPP tidak boleh diusahakan.
8. Saya menyarankan kajian yang mendalam juga perlu dilakukan berkaitan penerapan Model Kerajaan Teknokrat dan Sistem Pengasingan Kuasa supaya ia sesuai dengan peruntukan yang telah sedia ada di dalam Perlembagaan Persekutuan dan akta-akta berkaitan. Teguran bekas KPN tersebut perlu dilihat secara positif untuk kerajaan memulakan inisiatif ke arah itu.
Dr Mohd Zuhdi Marsuki
AJK Kerja PAS Pusat
5 Mei 2021
23 Ramadhan 1442