Gempar!!! Portal pro Azmin dedah ‘serangan’ terbaru bekas Ketua Hakim Negara terhadap Istana

Gempar!!! Portal pro Azmin dedah ‘serangan’ terbaru bekas Ketua Hakim Negara terhadap Istana

Bekas ketua hakim negara berkata Yang di-Pertuan Agong bertindak di luar kerangka Perlembagaan dalam beberapa peristiwa sepanjang setahun lalu sehingga ke tarikh peletakan jawatan oleh Muyhiddin Yassin, di samping turut menambah beberapa siri tindakan istana boleh ditafsirkan sebagai campur tangan politik.

Bekas ketua hakim Abdul Hamid Mohamad juga turut mempersoalkan apakah keperluan Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah memanggil Raja-Raja Melayu yang lain untuk mempertimbangkan perkara seperti cadangan kerajaan bagi pengisytiharan darurat virus tahun lalu, selain pelantikan Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri bulan lalu.

“Perlembagaan tidak memberi Raja-Raja Melayu apa-apa peranan dalam pelantikan Perdana Menteri. Paling kurang, bolehlah dikatakan mesyuarat itu tidak perlu. Sebaliknya, dengan mengadakan mesyuarat itu, ia memberi gambaran seolah-olah Yang di-Pertuan Agong tidak boleh membuat keputusan sendiri,” kata Hamid, yang bersara sebagai ketua hakim pada 2008 setelah lebih 50 tahun berkhidmat dalam badan kehakiman negara dalam analisis 11 halaman yang ditulisnya mengenai krisis politik sejak setahun lalu.

Hamid berkata, peristiwa 2020 dan 2021 yang menyaksikan istana menentang nasihat kerajaan pada masa itu boleh menjadikan urusan undang-undang yang mudah menjadi rumit.

“Keadaan menjadi lebih buruk apabila Raja-Raja, bukan sahaja tidak mengikut nasihat, di mana Perlembagaan memperuntukkan mereka kena berbuat demikian, tetapi melakukan sesuatu di luar Perlembagaan dan menitahkan sesuatu yang bercanggah, apatah lagi sesuatu yang bersifat politik, yang digunakan oleh pembangkang untuk mencapai kehendak mereka.

“Maka, betul atau tidak, nampaklah seolah-olah Raja berada di satu pihak dan Kerajaan di satu pihak lagi,” katanya.

Beliau memetik beberapa kenyataan media yang dikeluarkan oleh Istana Negara, mengatakan ia memberikan gambaran wujud campur tangan istana dalam politik.

Hal ini, katanya, turut termasuk gesaan awal Agong bulan lalu agar usul undi percaya dibentangkan bagi mengesahkan sokongan kepada orang yang sudah dinamakan beliau sebagai perdana menteri.

Sumber – MalaysiaNow