Gempar!!! Selepas lembu dirogol, terbaru harimau kumbang pula bunting
Penantian hampir sedekad warga Zoo Melaka untuk mendapat ahli keluarga baharu dalam kumpulan harimau kumbang di bawah jagaan mereka, kini menghampiri penghujungnya apabila seekor daripada haiwan itu bunting.
Ketua Unit Zoologi Zoo Melaka, Azman Ghazali yang menyampaikan berita gembira itu ketika dihubungi Bernama, berkata Seri yang berusia dalam lingkungan lapan tahun, sedang bunting dalam anggaran tiga bulan.
“Kami jangka Seri akan melahirkan anak sekitar April ini. Jadi segala persiapan sudah diatur termasuk doktor dan penjaga yang akan mengawasinya setiap masa.
“Kami pindahkan Seri ke ruang belakang agar gangguan dapat dikurangkan serta memberi keselesaan kepadanya,” katanya sambil menjelaskan kali terakhir zoo itu menerima kelahiran harimau kumbang ialah sembilan tahun lalu.
Beliau berkata, suasana sepi dan tenang tanpa kunjungan pelawat berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini memberi ruang kepada Seri serta haiwan lain berinteraksi secara semula jadi termasuk mengawan.
Menurutnya, perubahan ketara perlakuan haiwan dalam suasana tenang dan senyap itu dapat dilihat sejak hujung tahun lalu apabila empat daripada enam harimau kumbang jantan di zoo itu aktif memikat harimau kumbang betina untuk mengawan.
Sejak itu, katanya, doktor veterinar dan penjaga haiwan itu membuat pemerhatian dan penantian mereka membuahkan hasil apabila Seri didapati bunting.
“Seri yang berpasangan dengan Kiki yang seusia dengannya, berada dalam keadaan sihat dan tenang, tetapi lebih peka dengan keadaan sekeliling.
“Selain Seri, Zoo Melaka menunggu kelahiran anak kepada Ros, seekor zirafah berumur 15 tahun serta seekor beruang matahari dijangkakan berlaku dalam masa terdekat.
“Kedua-duanya telah diasingkan dan semua petugas sentiasa peka dengan keadaan haiwan bunting ini kerana kami bimbang sekiranya berlaku apa-apa komplikasi. Bagaimanapun setakat ini semuanya berada dalam keadaan baik,” katanya. – HM