Gempar!! Shafie Apdal ketua pembangkang yang baharu?

Gempar!! Shafie Apdal ketua pembangkang yang baharu?

Nama Datuk Seri Mohd Shafie Apdal adalah antara pemimpin yang disebut-sebut untuk diangkat sebagai Ketua Pembangkang yang baharu.

Namun, tidak kurang pula ada yang tidak bersetuju jika Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) itu menggantikan tempat Datuk Seri Anwar Ibrahim, atas alasan beliau dilihat hanya mewakili negeri Sabah dan bukan seluruh negara.

Bagi penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali, beliau melihat Shafie perlu membawa perwatakan ‘nasional’ jika mahu diterima semua pimpinan pembangkang dan rakyat secara keseluruhannya.

Malah, hala tuju perjuangan bekas Ketua Menteri Sabah itu jelas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu.

“Saya melihat ada sedikit kekurangan dari Shafie ialah beliau dilihat sebagai pemimpin yang mewakili Sabah. Kalau kita lihat dalam PRN Sabah September yang lalu, perjuangan beliau membawa kepada Sabah untuk masyarakat Sabah.

“Jadi untuk memimpin di peringkat nasional , Shafie perlu lebih menunjukkan pembawaan nasionalnya, iaitu parti yang dibawanya, Warisan perlu menjadi sebuah parti diterima seluruh rakyat Malaysia, bukan sahaja di Sabah, malah di Sarawak dan Semenanjung,” katanya kepada Astro AWANI melalui Skype pada Jumaat.

Dalam pada itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu mengkaji dan menimbang cadangan-cadangan dikemukakan pemimpin gabungan parti dalam Pakatan Harapan (PH) termasuk desakan sesetengah pihak agar Ketua Pembangkang itu letak jawatan.

Pada masa sama, Dr Mazlan berkata, penampilan muka-muka baharu dalam pimpinan PH mampu mengembalikan keyakinan terhadap gabungan parti itu.

Dr Mazlan mengambil contoh negara-negara Barat yang mula memberi peluang kepada orang muda untuk duduk dalam barisan kepimpinan.

“Mungkin pembangkang hari ini boleh bentuk satu kabinet bayangan terhadap sistem politik dengan mengetengahkan pimpinan yang muda, segar dan berwajah baru dan mungkin boleh menarik sokongan rakyat.

“Kita tahu tahun depan, bulan Julai sebanyak 7.4 juta pengundi muda akan masuk dalam pasaran demokrasi di Malaysia. Bagaimanapun, saya melihat faktor politik di Malaysia ini, golongan veteran itu masih diperlukan, mereka banyak memainkan peranan. Namun beri peluang pada orang muda” ujarnya.

Sumber: https://www.astroawani.com/berita-politik/shafie-apdal-tidak-cukup-nasional-untuk-jadi-ketua-pembangkang-273692