Gen Z, milenial lebih suka kirim mesej daripada buat panggilan telefon
Sebelum membuat panggilan telefon, Nivani Elangovan, 26 tahun, akan mempersiapkan dirinya dengan memikirkan apa yang boleh berlaku semasa perbualan dan mencatat perkara yang ingin dikatakan pada nota ‘post-it’ sebagai rujukan.
Menekan nombor telefon pada telefon bimbit sahaja sudah boleh menimbulkan rasa gelisah, apatah lagi perlu bercakap menerusi panggilan telefon.
“Saya benci panggilan telefon… kerana saya lebih risau tentang perkara yang mungkin berlaku. Saya sukakan struktur dan bersedia sebaik mungkin,” katanya kepada Mediacorp melalui telefon.
“Jika melalui emel atau mesej, sekurang-kurangnya saya menulis dan saya mempunyai masa untuk berfikir bagaimana untuk menjawab dan apa yang ingin saya katakan. Sekiranya ia panggilan telefon, terdapat pelbagai perkara yang mungkin berlaku.
Mengapa Cik Elangovan sanggup bersusah payah, sedangkan panggilan telefon merupakan satu perkara yang mudah?
Graduan baharu dari Universiti Teknologi Nanyang (NTU) itu berkata beliau bimbang sekiranya dianggap tidak bersedia atau terpinga-pinga ketika membuat panggilan.
Kes “kegelisahan buat panggilan telefon” seperti Cik Elangovan sebenarnya perkara biasa dalam kalangan pengguna peranti digital yang membesar dengan komputer dan internet.
Di Australia, satu tinjauan yang dijalankan tahun lalu ke atas lebih 1,000 golongan Gen Z berusia antara 18 dengan 26 tahun mendapati hanya satu daripada 10 individu memilih untuk bercakap dengan anggota keluarga dan rakan-rakan menerusi panggilan telefon.
Kira-kira 49 peratus berkata panggilan telefon membuat mereka gelisah, manakala enam daripada 10 responden mengaku sukar untuk membuat atau menjawab panggilan telefon. Demikian menurut tinjauan dijalankan syarikat telekomunikasi Australia More Telecom pada Mei 2023.
Satu lagi tinjauan oleh penyedia telekomunikasi Eropah Sky Mobile ke atas 1,000 belia berumur 18 hingga 24 pada Oktober 2023, juga mendapati bahawa satu perempat daripada mereka sering tidak menjawab panggilan telefon. Manakala lebih separuh, atau 57 peratus, mengaku tidak menjawab panggilan telefon ibu bapa mereka.
Kecederungan Gen Z memilih mengirimkan mesej bukanlah fenomena baharu, golongan ‘milenial’ – iaitu mereka yang berumur antara 27 dengan 42 – juga melakukan perkara serupa seawal 2009, kata ahli sosiologi kepada Mediacorp.
Di Singapura, 12 belia berusia 35 tahun dan ke bawah memberitahu Mediacorp bahawa kiriman mesej adalah cara utama mereka berkomunikasi, meskipun tiga daripada mereka memilih panggilan telefon.
Meskipun mereka yang memilih menghantar mesej berkata cara itu lebih mudah dilakukan di mana dan pada bila-bila masa sahaja, selain tempoh lebih lama untuk memikirkan mesej yang mahu dihantar, wawancara dijalankan Mediacorp bersama mereka dalam kalangan usia 40 dan 50 tahun menerima maklum balas berbeza dalam isu tersebut.
“Membuat panggilan lebih mudah kerana anda sampaikan perkara yang ingin dikatakan dan mesej itu disampaikan terus,” kata Cik Angie Neo, 59 tahun, seorang eksekutif pentadbiran di sebuah syarikat hartanah.
Ahli sosiologi juga menarik perhatian bahawa menyampaikan mesej melalui teks tidak selalunya positif, kerana ia mungkin menjejas kemahiran berkomunikasi disebabkan kurangnya isyarat sosial, seperti ekspresi wajah atau nada suara mereka.
Walaupun mengirimkan mesej mungkin kekal sebagai bentuk komunikasi utama bagi golongan ‘zoomer’ atau Gen Z dan ‘milenial’ buat masa ini, Mediacorp meninjau kesannya ke atas cara masyarakat berinteraksi antara satu sama lain di rumah dan di tempat kerja.
TTYL – APA MAKNANYA?
Seperti ramai orang dalam generasi sama dengan beliau sekarang ini, perkara pertama Cik Elangovan lakukan adalah memeriksa telefon bimbitnya untuk mesej yang dihantar semalaman.
Bagi Mariasusai Maria Sophia, 43 tahun, kebiasaan dua anaknya untuk mengirim mesej sebelum bangun dari katil sering kali menyebabkan beliau menegur anaknya.
Kedua-dua anaknya, yang berusia 18 dan 20 tahun, sering menggunakan telefon bimbit mereka untuk mengirim mesej. Mereka juga mengirimkan mesej kepada Cik Sophia meskipun beliau sudah menjelaskan bahawa beliau lebih suka jika mereka menelefon sahaja.
“Mungkin saya mengikut cara lama, tetapi bila anda berbual di telefon, terdapat hubungan yang tidak dapat dicapai melalu mesej, yang agak membosankan.”
Sekalipun demikian, Cik Sophia dan beberapa individu lain dalam lingkungan 40an dan 50an memberitahu Mediacorp bahawa mereka sudah belajar menyesuaikan diri dengan aplikasi mesej seperti Whatsapp, yang semakin digunakan generasi muda.
“Tanda rait biru”, sebuah ciri di WhatsApp yang menandakan sama ada penerima sudah melihat mesej yang dihantar kepada mereka, juga memberi maksud berbeza kepada penerima yang berbeza usia. Ia juga boleh menyebabkan rasa tidak puas hati.
Bagi golongan belia, mengirimkan mesej dan mendapat isyarat dua tanda rait biru menunjukkan bahawa mesej sudah dibaca oleh penerima. Bagi golongan tersebut, mesej yang tidak dijawab selepas itu adalah tanda kurang sopan, dan menganggap diri mereka tidak dilayan.
Bagi sesetengah penerima mesej yang lebih berusia, tanda rait biru itu hanyalah satu tanda bahawa mesej itu sudah dibaca.
“Sejujurnya, tidak ada keperluan untuk membalas mesej. Selagi mereka melihat mesej tersebut, ia sudah cukup bagus untuk saya,” kata Cik Sophia.
Encik Edwin Yeo, pengurus besar firma perhubungan awam SPRG Singapore berkata bahawa kecenderungan belia untuk sekadar mengirim mesej mungkin ada kelemahannya.
“Golongan belia takut ditolak apabila mereka menghubungi seseorang, mereka mungkin tidak menjawab atau menamatkan panggilan,” katanya.
“Walau bagaimanapun, panggilan telefon boleh menjadi lebih mudah ketika ingin mencadangkan saranan dan membuat penjelasan… tanpa salah faham, kerana anda boleh mendengar nada suara mereka, tidak seperti mesej.”
BEZA KIRIM TEKS KEPADA RAKAN
Bagi kebanyakan golongan muda, kecenderungan mereka untuk mengirimkan mesej terletak pada satu perkataan – kemudahan. Seseorang boleh mengirim mesej ketika berada di luar, ketika berehat di rumah ataupun di dalam kelas. Kiriman mesej kepada rakan atau keluarga hanya mengambil masa beberapa saat sahaja.
Seperti belia lain, Loy Ming Hao, 23 tahun, seorang mahasiswa perniagaan Universiti Pengurusan Singapura (SMU), berkata bahawa aplikasi mesej mempunyai ciri-ciri unik yang membuat komunikasi lebih menarik, seperti “video bubbles” di mana mereka boleh menghantar video singkat diri sendiri.
Meskipun terdapat belia yang memilih panggilan telefon, kiriman mesej masih cara utama mereka berkomunikasi.
BAHASA LEBIH FORMAL KETIKA KIRIM MESEJ BAGI TUJUAN KERJA
Sama seperti rakan dan keluarga, belia juga bergantung kepada mesej semasa berbual dengan rakan sekerja mereka, terutamanya dengan aturan kerja hibrid yang menjadi kebiasaan selepas pandemik.
Bagi Hilman, 26 tahun, mesej yang dikirimkan kepada rakan sekerja tidak begitu formal seperti di dalam emel, kerana beliau sering menggunakan emoji.
“Agak bosan untuk setakat menjawab ‘okay, terima kasih’. Kadang-kadang saya gunakan emoji ibu jari dan menjawab ‘cool’,” kata jurutera itu.
“Namun jika ia melibatkan perkara lebih rumit yang ingn disampaikan kepada rakan sekerja, panggilan telefon lebih mudah supaya kami dapat menyampaikan mesej dengan segera. Meskipun saya memilihi mesej, panggilan telefon lebih mudah,” tambahnya.
PATUTKAH KIRIM MESEJ DI TEMPAT KERJA DIBIASAKAN?
Encik Yeo daripada SPRG Singapura berkata, walaupun sejumlah pekerjanya yang lebih muda tidak berminat untuk membuat panggilan telefon, kiriman mesej mungkin tidak produktif di tempat kerja.
“Apabila kami mempunyai kumpulang sembang, ada kalanya mereka enggan menjawab dan anda harus tanya mereka satu persatu. Namun sekiranya kami mempunyai mesyuarat fizikal atau melalui video, mereka lebih terbuka untuk bersuara,” tambahnya.
Encik Yeo berkata beliau juga secara tidak sengaja menakutkan pekerjanya apabila beliau mengirimkan teks, kerana pekerjanya sering menganggap Encik Yeo sedang memarahi mereka berdasarkan teks yang dikirim.
“Semua isyarat sosial ini hilang, seperti nada suara saya. Tetapi saya tidak marah, saya hanya bertanya sesuatu kepada mereka,” kata Encik Yeo
KIRIMAN TEKS ‘TIDAK BERMASALAH’Dr
Soon, zamil penyelidik utama dari Institut Kajian Dasar (IPS), berkata pilihan Gen Z untuk mengirimkan mesej “tidak menghairankan”, kerana beberapa kajian menunjukkan bahawa golongan milenial berkongsi kecenderungan yang sama.
Mengirimkan mesej memberi golongan belia lebih banyak kawalan ke atas jadual mereka, kerana mereka boleh berkomunikasi pada bila-bila masa dan membolehkan mereka melakukan pelbagai tugas dan mengelak daripada melalukan perbualan kecil,” katanya.
“Apabila kita mengirimkan mesej, kita boleh menyusun apa yang ingin kita sampaikan dengan teliti dan meluangkan masa untuk menjawab. Oleh itu, kita rasa lebih terkawal. Di pelbagai platform seperti WhatsApp dan Telegram, kita juga boleh mengubah dan memadam mesej,” kata Dr Andrew Yee, penolong profesor di Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD).
Ciri sedemikian penting bagi mereka yang bersifat malu atau mudah rasa gelisah, tambahnya.