Gencatan atas kertas, realitinya Umno Bersatu masih berbalah
Pertemuan enam mata yang berlaku antara Presiden Umno, Bersatu dan Pas berakhir dengan suasana yang tidak kondusif apabila Umno gagal mencapai syarat-syarat yang ditetapkannya kepada Bersatu.
Menurut orang kanan Datuk Seri Najib Razak, pertemuan antara Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu tidak berakhir dengan baik.
“Kau ni tidak pernah berubah ye,” kata Zahid kepada Muhyiddin selepas mesyuarat itu, beritahu Datuk Lokman Noor Adam menerusi facebook beliau tentang pertemuan itu.
Zahid dipercayai membawa syarat-syarat yang diputuskan Biro Politik Umno kepada Muhyiddin dalam mesyuarat enam mata tersebut selepas Zahid bersama Datuk Ahmad Maslan, Setiausaha Agung Umno bertemu Hadi sebelum itu.
“Apa syarat-syarat yang diletak Umno nampaknya tidak diterima Muhyiddin. Kemungkinan besar juga Muhyiddin bersifat angkuh,” beritahu Lokman lagi.
Walaupun mesyuarat Majlis Tertinggi Umno dibatalkan ekoran Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikenakan ke atas Kuala Lumpur, Zahid dipercayai membincangkan hal ini dalam kumpulan whatsapp Majlis Tertinggi Umno.
“Datuk Seri Zahid saya jangka telah bincang dalam group Majlis Tertinggi walaupun tidak bermesyuarat. Saya boleh anggap ia adalah keputusan bersama juga,” kata Lokman lagi.
Beliau juga yakin, keputusan genjatan senjata dengan Bersatu yang diumum Zahid juga disebabkan campur tangan pihak luar termasuk istana yang tidak mahu politik berlebihan ketika Covid-19.
Sumber : Malaysia Dateline