Guna dua bahan sahaja, cara mudah baiki tali pinggang keledar yang dah longgar

Guna dua bahan sahaja, cara mudah baiki tali pinggang keledar yang dah longgar

Tali pinggang keledar diciptakan untuk memastikan perjalanan kita selamat apabila menaiki kereta

Malah, undang-undang berkenaan kewajiban untuk memakainya turut dikuatkuasa bagi memastikan para pengguna jalan raya tidak mengabaikan keselamatan mereka.

Walau bagaimanapun, semakin lama tali pinggang keledar anda dimakan usia, bahagian tersebut tidak dapat berfungsi dengan baik seperti dahulu kala.

Jika tali pinggang keledar longgar, bahagian keselamatan itu tidak dapat menahan badan anda daripada sebarang impak pelanggaran.

Anda akan menyedari kelonggaran ini ketika memakai tali pinggang keledar. Kebiasaannya, tali pinggang keledar baharu akan terus ‘mencengkam’ badan pemakainya.

Jika anda menanggalkannya, tali pinggang tersebut akan tertarik secara sendiri dan kembali ke tempat asal.

Berbeza pula dengan tali pinggang keledar yang sudah usang, ia akan menjadi ketat pada badan pemakai pada masa yang agak lama.

Sesetengahnya terlalu usang sampaikan tidak boleh diketatkan langsung dan apabila anda memakainya, ia akan jatuh pada riba anda.

Tali pinggang keledar yang longgar bersifat tidak efektif. Mungkin pemakaiannya dapat mengelakkan saman daripada pihak berkuasa tetapi, ia tidak dapat menyelamatkan anda daripada sebarang kemalangan.

Perkara ini dapat dibaiki dan penyebab masalah tali pinggang keledar ini adalah tidak terlalu kompleks iaitu, mengalami kekotoran.

Cara untuk mengembalikan ‘zaman kegemilangan’ tali pinggang keledar anda

Salah satu cara mudah untuk menyelesaikan masalah ini adalah dengan membasuh tali pinggang kaledar tersebut. Caranya pun mudah, cuma dapatkan sebaldi air dan letakkan beberapa cecair pencuci.

Tarik sepanjang mana tali pinggang keledar yang anda mampu dan letakkan klip pengikat di bahagian penghujungnya untuk mengelakkannya tertarik kembali.

Selepas itu, anda boleh meletakkan tuala pada kerusi kereta yang berdekatan dengan tali pinggang keledar yang ingin dicuci tadi.

Dari situ, anda boleh mencelup tali pinggang keledar yang ditarik ke dalam baldi dan rendam dalam cecair pencuci tadi.

Setelah merendamnya selama 20 minit, anda akan melihat rendaman air sabun tadi telah mengeluarkan banyak kotoran dari tali pinggang keledar itu.

Ambil berus berbulu lembut dan mula menggosok permukaan tali pinggang keledar untuk membersihkan saki baki kotoran.

Apabila tali pinggang keledar tersebut didapati bersih, anda boleh mengeringkannya dengan menggunakan kain.

Walau bagaimanapun, anda masih tidak boleh menggulung tali pinggang tersebut. Biarkan ia betul-betul kering dalam tempoh beberapa jam.

Selepas tali pinggang tersebut betul-betul kering, tali pinggang keledar yang longgar mungkin akan berfungsi dengan lebih baik berbanding sebelum ini.

Jika ia tidak dapat ditarik dengan cepat, anda mungkin berhadapan dengan masalah kekotoran pada bahagian mekanismenya.

Untuk menyelesaikan masalah ini, anda perlu mengalihkan kerusi dan membuka bahagian plastik pada tali pinggang keledar tersebut bagi melihat mekanisme dalamannya. Bagaimanapun, anda dinasihati untuk tidak membuka bahagian tersebut, lebih-lebih lagi kereta baharu yang mempunyai banyak peralatan elektronik dan sensor pada tempat duduk.

Apa pun, sekiranya tali pinggang keledar masih bermasalah, segera dapatkan perkhidmatan pakar untuk menyelesaikan masalah berkenaan.

Akhir sekali, pemakaian tali pinggang keledar adalah penting bagi para pemandu dan penumpang ketika  perjalanan. Bukan itu sahaja, tali pinggan juga perlu diselenggara untuk tersus berfungsi dengan baik.