Hadi mahu jawatan TPM dibiar kosong
Polemik dalam memilih calon yang layak mengisi kekosongan jawatan Timbalan Perdana Menteri semakin berlanjutan seolah-olah tiada berkesudahan.
Sehingga kini tiada kata putus yang mampu dilakukan Ismail Sabri dalam masa terdekat bagi memilih mereka yang layak meskipun 3 nama telahpun dicadangkan kepadanya.
Menurut sumber yang raoat dengannya, Azmin dan Hamzah, kedua-duanya daripada Bersatu mendahului senarai yang dicadangkan, manakala Hishamuddin merupakan calon kompromi, sekutu Azmin.
Bagi meleraikan permasalahan ini, presiden Pas mencadangkan kerusi nombor 2 dalam pentadbiran negara itu terua dibiarkan kosong.
Menurutnya lagi seperti yang dilaporkan portal FMT, tiada keperluan untuk melantik timbalan kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dalam urusan pentadbiran negara.
Presiden PAS itu bagaimanapun berkata, Ismail mempunyai kuasa untuk melantik timbalannya sekiranya perlu.
“Terpulang kepada Perdana Menteri sama ada untuk melantik timbalannya kerana dia (Ismail) yang menjalankan tugas,” katanya, menurut laporan Harian Metro.
Hadi berpandangan Ismail yang juga Ahli Parlimen Bera itu sudah menjalankan tugas dengan baik.
“Tetapi setakat ini kita dapati Ismail berjaya menjalankan tugas dengan baik… bukan saya yang menjalankan tugas. Jika dia (Ismail Sabri) rasa perlu, dia boleh lantik,” katanya ketika ditemui di pekarangan kediamannya selepas menyampaikan kuliah Jumaat di Masjid Rusila, Marang, Terengganu.
Mengulas mengenai spekulasi rombakan Kabinet baru-baru ini, Hadi berkata, kebiasaannya Perdana Menteri akan mengadakan perbincangan sebelum memutuskan untuk melakukan rombakan Kabinet.
“Saya tidak mendengar akan berlakunya rombakan Kabinet dan saya anggap ia hanyalah berita angin.
“Pada pandangan saya, semua menteri sudah menjalankan tugas dengan baik dan tidak perlu kepada rombakan Kabinet,” katanya.
Sejak kebelakangan ini, timbul desas-desus bahawa Ismail akan melakukan rombakan Kabinet dengan melantik seorang Timbalan Perdana Menteri dan menggugurkan tiga menteri.
Pada 4 Jan lalu, Ismail menafikan perkara itu dengan menyifatkan isu rombakan Kabinet hanya spekulasi semata-mata.